
KUALA LUMPUR, 7 September – Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi penggal akan 2026/2029 perlu berlangsung secara telus dan memberi ruang kepada persaingan yang sihat bagi memastikan barisan kepimpinan yang dipilih benar-benar mempunyai mandat kukuh untuk membawa transformasi dalam badan induk bola sepak negara.
- Presiden FAM mesti berani buat keputusan, ada hala tuju jelas dan memimpin, bukan sekadar pengikut.
- Pemilihan perlu terbuka dan telus supaya pemenang bukan proksi dan datang dengan niat transformasi.
- Ahli Majlis Eksekutif disarankan 60 hingga 70 peratus muka baharu untuk idea dan pendekatan segar.
- Kestabilan jawatan Presiden penting supaya perancangan dilaksanakan berterusan dan memberi keyakinan kepada rakyat serta peminat.
Penganalisis sukan Datuk Dr Pekan Ramli berkata persaingan bagi jawatan Presiden FAM perlu terbuka dan telus supaya individu yang dipilih bukan sekadar mengisi kekosongan, sebaliknya mempunyai visi serta keberanian untuk melakukan perubahan menyeluruh dalam organisasi berkenaan.
“Kita mahukan pertandingan yang telus dan tidak mahu pemilihan ini sudah diatur. Pemenang seharusnya hadir dengan kemahuan untuk melakukan transformasi dalam FAM, bukannya sekadar menjadi proksi,” katanya ketika dihubungi RTM.
Menurut beliau, FAM memerlukan seorang presiden yang berani membuat keputusan, mempunyai hala tuju jelas serta mampu memimpin organisasi, bukannya sekadar bertindak sebagai pengikut.
Ujarnya, calon yang dipilih juga perlu bersedia memikul mandat daripada ahli gabungan, rakyat dan peminat yang mengharapkan perubahan terhadap pengurusan serta imej bola sepak Malaysia di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Dalam pada itu, beliau berkata komposisi Ahli Majlis Eksekutif FAM turut perlu diberi perhatian dengan sekurang-kurangnya 60 hingga 70 peratus muka baharu dipertimbangkan bagi menyuntik tenaga, idea dan pendekatan lebih segar dalam organisasi berkenaan.
“Kita tidak mahu kalau kita ada calon-calon baharu ataupun ahli-ahli Majlis Eksekutif FAM yang terpilih nanti yang selama ini kita anggap ‘berkokok di luar gelanggang’, tetapi apabila masuk gelanggang esok, apabila telah terpilih, kecut perut mereka. Seperti kata orang; ‘ada pun tidak menambah dan tidak ada pun tidak mengurang” tegas beliau.
Beliau turut berkata barisan kepimpinan baharu yang bakal dilantik turut perlu mempunyai keupayaan untuk menterjemahkan visi kepada tindakan, selain memastikan setiap anggota yang dipilih benar-benar dapat memainkan peranan dalam membangunkan bola sepak negara.
Beliau juga menekankan kepentingan kestabilan jawatan Presiden FAM bagi memastikan perancangan yang dirangka dapat dilaksanakan secara berterusan tanpa tanpa gangguan akibat peletakan jawatan dalam tempoh singkat.
Menurut beliau, kestabilan kepimpinan penting supaya mandat yang diberikan oleh ahli gabungan dapat dilaksanakan dengan berkesan, selain memberi keyakinan kepada rakyat dan peminat terhadap hala tuju badan induk itu.
Beliau turut menjelaskan pemilihan kali ini amat penting kerana keputusan yang dibuat bakal menentukan hala tuju dan kestabilan bola sepak negara untuk tempoh beberapa tahun akan datang.