Pingat di Da Nang suntik keyakinan skuad pickleball remaja negara

Foto RTM

SEPANG, 7 September Kejayaan skuad pickleball remaja Malaysia pada Kejohanan Pickleball Remaja Antarabangsa 2026 – Edisi Piala Dunia di Da Nang, Vietnam, memberi suntikan keyakinan kepada para muda negara untuk terus melangkah lebih jauh dalam sukan berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jurulatih Gee anggap pencapaian di luar jangkaan kerana pasukan masih baharu, bangga dengan kesungguhan dan komitmen pemain.
  • Skuad masih memerlukan lebih latihan untuk meningkatkan aspek teknikal dan taktikal berbanding pasukan Vietnam dan India.
  • Persiapan akan diteruskan bagi menghadapi kejohanan peringkat Asia dan antarabangsa yang dijadualkan tahun depan.
  • Malaysia pulang dengan satu perak dan dua gangsa dalam kategori Bawah 18, Bawah 16 dan Bawah 10.

Jurulatih pasukan negara, Gee Ci Long menyifatkan pencapaian itu di luar jangkaan, memandangkan pasukan berkenaan masih baharu.

Beliau berkata kejayaan itu amat membanggakan, terutama selepas melihat kesungguhan dan komitmen tinggi yang ditunjukkan pemain sepanjang tempoh persiapan menghadapi kejohanan berkenaan.

“Sebenarnya, kita menjangkakan tahun depan barulah kita mampu mencapai pencapaian seperti ini kerana pasukan ini masih baharu. Namun, mereka bekerja keras dan kami amat berbangga dengan pencapaian yang diraih kali ini.

“Sukan ini juga masih baharu di Malaysia, jadi kita masih memerlukan lebih banyak latihan untuk meningkatkan prestasi pemain.

“Berdasarkan prestasi yang ditunjukkan, saya yakin tahun depan kita mampu mencapai keputusan yang lebih baik,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) disini selepas pulang  dari kejohanan berkenaan.

Beliau berkata perbezaan tahap permainan dengan pasukan dari negara seperti Vietnam dan India turut memperlihatkan beberapa aspek teknikal dan taktikal yang perlu diperbaiki bagi meningkatkan prestasi pemain negara.

Tambah beliau, skuad pickleball remaja Malaysia akan meneruskan persiapan bagi menghadapi kejohanan peringkat Asia dan antarabangsa yang dijadualkan berlangsung tahun depan.

Sementara itu, ibu bapa pemain yang ditemui menyifatkan pencapaian berkenaan bukan sahaja membanggakan, malah membuktikan potensi besar yang dimiliki pemain untuk terus menyinar di peringkat antarabangsa

“Kejayaan ini dapat dicapai kerana e23 menyediakan platform terbaik untuk anak-anak kami mengetengahkan potensi dan bakat yang dimiliki dalam sukan pickleball.Kita dapat melihat peningkatan prestasi mereka dari hari ke hari dan pencapaian kali ini merupakan satu langkah awal yang membuktikan pemain Malaysia mampu meraih pingat di pentas antarabangsa,” katanya.

Beliau turut mengakui penglibatan anak-anak dalam latihan dan kejohanan memerlukan pengorbanan besar daripada ibu bapa, khususnya dalam membahagikan masa antara kerjaya, keluarga, latihan dan pelajaran.

Dalam pada itu, pemenang pingat gangsa kategori beregu perempuan Bawah 10 Tahun, Kim Nardine Marisse Mohd Hakim dan Raessa Ashwad, menyifatkan pengalaman beraksi di pentas antarabangsa sebagai antara pengalaman paling bermakna sepanjang kejohanan.

“Saya sangat gembira kerana ini merupakan kejohanan antarabangsa pertama yang saya sertai sepanjang hidup. Saya juga amat bersyukur dan berterima kasih atas peluang yang diberikan,” kata Raessa.

Kim Nardine pula berkata pengalaman paling menyeronokkan ialah ketika beraksi dalam acara beregu bersama pasangannya serta meraikan kemenangan bersama.

Bagi pemenang pingat gangsa kategori beregu lelaki Bawah 16 Tahun, Ethan Chan Kah Jun, kejohanan itu memberinya peluang memperbaiki kelemahan dan meningkatkan prestasi berbanding penyertaan terdahulu.

“Saya berasa sangat gembira kerana ini merupakan kejohanan antarabangsa kedua yang saya sertai. Saya juga berpeluang beraksi menentang pemain yang lebih kuat.

“Pada kejohanan sebelum ini, prestasi saya kurang memuaskan, namun tahun ini saya kembali dengan prestasi yang lebih baik,” katanya.

Terdahulu, Malaysia membawa pulang satu pingat perak dan dua gangsa menerusi kategori Bawah 18, Bawah 16 dan Bawah 10 Tahun pada Kejohanan Pickleball Remaja Antarabangsa 2026 Edisi Piala Dunia di Da Nang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.