Ab Ghani mahu FAM digerakkan secara kolektif

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 7 September – Calon Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Ab Ghani Hassan, mahu membentuk pasukan kepimpinan yang mempunyai visi sama dan bekerja secara kolektif bagi memacu badan induk itu sepanjang baki penggal 2025-2029.

RINGKASAN BERITA AI
  • FAM perlu kepimpinan sehaluan dan kerja kolektif; tidak boleh digerakkan secara individu.
  • Fokus utama adalah meletakkan kepentingan bola sepak negara sebagai keutamaan sepanjang baki penggal.
  • Struktur FAM melibatkan persatuan negeri, kelab Liga Malaysia, AFL, Liga Wanita, MPFL serta golongan profesional.
  • Pemilihan pada 17 September menyaksikan pertarungan bagi Presiden, Naib Presiden dan kerusi Exco kategori berbeza.

Beliau berkata pembentukan pasukan yang sehaluan penting memandangkan FAM tidak boleh digerakkan secara individu, sebaliknya memerlukan kesepakatan barisan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) serta badan-badan gabungan dalam menentukan hala tuju bola sepak negara.

“Bagi saya, yang lebih penting dahulu untuk baki penggal 2025-2029 yang mempunyai tempoh lebih dua tahun lagi ialah kita dapat membentuk satu pasukan yang mempunyai visi sama, bekerja secara kolektif dan meletakkan kepentingan bola sepak negara sebagai keutamaan,” katanya.

Beliau mengakui mempunyai visi dan misi tersendiri untuk membawa bola sepak Malaysia ke arah lebih baik, namun menegaskan ia perlu diselaraskan bersama barisan kepimpinan FAM yang bakal dipilih.

“Sudah tentunya saya juga ada visi dan misi tersendiri untuk membawa bola sepak negara ke arah yang lebih baik, tetapi kita perlu memahami bahawa FAM adalah sebuah persatuan yang turut melibatkan badan-badan gabungan dan barisan Exco yang akan dipilih bersama dalam pemilihan ini nanti,” jelasnya.

Beliau berkata struktur FAM turut melibatkan persatuan bola sepak negeri, kelab Liga Malaysia, Liga Bolasepak Amatur (AFL), Liga Wanita Nasional, Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) serta golongan profesional.

Pada pemilihan yang dijadualkan pada 17 September depan, beliau dan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar, diumumkan sebagai dua calon yang akan bersaing bagi merebut jawatan Presiden.

Bagi jawatan Naib Presiden 1, persaingan menyaksikan Datuk Seri Rosmadi Ismail, Mohd Firdaus Mohamed dan Syed Yazid Syed Omar, manakala jawatan Naib Presiden 3 pula menyaksikan Datuk Saaran Nadarajah berdepan Afizal Abu Othman.

Sebanyak tujuh calon akan bersaing bagi tiga kerusi Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) kategori persatuan bola sepak negeri, manakala lima calon merebut dua kerusi bagi kategori kelab.

Sementara itu, masing-masing dua calon bertanding bagi satu kerusi Exco kategori profesional dan wanita.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.