
BERLIN, 7 September – Parti Alternatif untuk Jerman (AfD) mencatat kemenangan bersejarah dalam pilihan raya negeri Saxony-Anhalt apabila meraih 44.5 peratus undi, sekali gus meletakkan parti berhaluan kanan itu di ambang kuasa di peringkat negeri buat kali pertama sejak Perang Dunia Kedua.
- Keputusan menunjukkan kejatuhan sokongan kepada CDU dan peningkatan sokongan ketara terhadap AfD di wilayah timur, menjadikan AfD kuasa politik semakin berpengaruh.
- AfD belum memperoleh majoriti mutlak, menjadikannya sukar membentuk kerajaan tanpa sokongan parti lain.
- Pejabat perisikan negeri mengklasifikasikan AfD sebagai parti pelampau sayap kanan, menyumbang kepada dasar penolakan kerjasama parti arus perdana.
- Kemenangan menguatkan agenda AfD: imigresen tegas, hubung baik dengan Rusia, kurangkan sokongan kepada Ukraine, serta dasar budaya konservatif.
Keputusan tinjauan pengundian oleh penyiar ARD menunjukkan sokongan terhadap AfD meningkat lebih dua kali ganda berbanding 20.8 peratus yang diperolehnya pada pilihan raya 2021.
Kemenangan berkenaan sekali gus meninggalkan jauh parti konservatif Kesatuan Demokratik Kristian (CDU) pimpinan Canselor Friedrich Merz yang memperoleh 18.5 peratus, berbanding 37.1 peratus sebelum ini.
Kemenangan itu bagaimanapun belum menjamin AfD untuk membentuk kerajaan negeri kerana parti berkenaan tidak memperoleh majoriti mutlak.
Namun, keputusan itu mempunyai kepentingan politik yang besar kerana buat pertama kali sejak Perang Dunia Kedua, sebuah parti berhaluan kanan jauh muncul sebagai pemenang pilihan raya negeri Jerman, sekali gus mencabar sekatan politik yang selama ini dikenakan terhadap AfD.
Calon utama AfD di Saxony-Anhalt, Ulrich Siegmund, 35, menyifatkan keputusan itu sebagai detik bersejarah dan berkata pengundi telah memberikan isyarat jelas bahawa mereka mahukan perubahan politik.
“Kita telah mencipta sejarah di negara ini,” katanya selepas keputusan awal diumumkan.
Siegmund yang menarik ribuan penyokong ke perhimpunan kempen AfD turut menyifatkan kemenangan di Saxony-Anhalt sebagai langkah pertama ke arah usaha parti itu mendapatkan kuasa di peringkat persekutuan dalam pilihan raya umum yang dijadualkan pada 2029.
Beliau berkata rakyat telah menjelaskan bahawa mereka mahukan perubahan politik dan memilih AfD untuk merealisasikannya.
Saxony-Anhalt, yang pernah menjadi sebahagian daripada Jerman Timur di bawah pemerintahan komunis, mempunyai penduduk lebih dua juta orang dan merupakan antara negeri di timur Jerman yang menjadi kubu kuat AfD.
Meskipun memperoleh kemenangan besar, AfD masih perlu mengatasi cabaran untuk membentuk kerajaan kerana parti arus perdana Jerman secara amnya menolak sebarang kerjasama dengan parti berkenaan.
AfD memerlukan majoriti kerusi dalam parlimen negeri untuk memerintah tanpa bergantung kepada parti lain.
Parti berkenaan telah diklasifikasikan sebagai parti pelampau sayap kanan oleh pejabat perisikan dalam negeri Jerman di negeri berkenaan.
Keadaan itu menyebabkan beberapa parti arus perdana berpegang kepada dasar untuk tidak bekerjasama dengan AfD.
Bagaimanapun, kemenangan di Saxony-Anhalt mengukuhkan kedudukan AfD sebagai kuasa politik yang semakin berpengaruh di Jerman, khususnya di wilayah timur.
Di peringkat persekutuan, AfD kini merupakan parti paling popular dengan sokongan sekitar 28 peratus berdasarkan tinjauan INSA terbaharu, mengatasi parti konservatif yang mencatat sekitar 20 peratus.
Kemenangan di Saxony-Anhalt juga memperlihatkan peningkatan ketara sokongan terhadap AfD sejak parti itu ditubuhkan pada 2013.
Sementara itu, keputusan pilihan raya itu menjadi tamparan hebat kepada Chanselor Jerman, Merz dan CDU yang telah memerintah Saxony-Anhalt sejak 2002.
Sokongan terhadap CDU merosot kepada 18.5 peratus daripada 37.1 peratus pada 2021, mencerminkan kemerosotan ketara sokongan terhadap parti konservatif itu.
Tinjauan penyiar ARD turut menunjukkan 87 peratus pengundi di negeri itu tidak berpuas hati dengan kerajaan persekutuan.
Presiden Institut Penyelidikan Ekonomi Jerman, Marcel Fratzscher, menyifatkan keputusan pilihan raya itu sebagai undi tidak percaya terhadap kerajaan persekutuan.
Merz sebelum ini berjanji untuk memulihkan ekonomi terbesar Eropah itu menerusi pembaharuan mesra perniagaan dan peningkatan perbelanjaan, selain memberi amaran bahawa kemenangan AfD boleh menjejaskan Saxony-Anhalt serta menghalang pelaburan syarikat asing.
Kejayaan AfD turut memberi dorongan kepada agenda politik parti itu yang merangkumi dasar lebih tegas terhadap imigresen, usaha memulihkan hubungan dengan Rusia, mengurangkan sokongan kepada Ukraine dan menarik Jerman keluar daripada penggunaan mata wang euro.
Dalam kempen pilihan raya, AfD memanfaatkan ketidakpuasan hati terhadap parti politik tradisional dengan menawarkan dasar yang lebih konservatif serta menekankan isu keselamatan, imigresen dan identiti nasional.
Parti itu mahu sekolah dan institusi kebudayaan lebih menekankan nilai tradisional, selain mencadangkan pembaharuan terhadap penyiaran awam.
AfD turut mencadangkan supaya kanak-kanak pelarian diajar dalam kelas berasingan, melarang pengibaran bendera pelangi di sekolah dan mewajibkan bendera Jerman dikibarkan setiap hari.
Cadangan lain termasuk lagu kebangsaan dinyanyikan oleh murid dan kakitangan sekolah ketika sambutan, rondaan oleh orang awam, peningkatan pengajaran bahasa Rusia di sekolah serta menghentikan pembinaan ladang angin baharu.
Kemenangan di Saxony-Anhalt sekali gus menjadi ujian penting terhadap keupayaan parti arus perdana Jerman mengekalkan sekatan kerjasama politik terhadap AfD, selain berpotensi memberi dorongan baharu kepada parti itu menjelang pilihan raya umum 2029. – REUTERS.