
KUALA LUMPUR, 7 September – Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) menyasarkan potensi sumbangan syarikat Bumiputera kepada ekonomi negara meningkat sehingga dua kali ganda menjelang 2035, berbanding sasaran 15 peratus sebelum ini.
- Kerajaan akan menyediakan pelaporan menyeluruh mengenai pencapaian PuTERA35 menjelang hujung tahun atau awal tahun depan untuk menilai kemajuan dan keperluan anjakan.
- Penilaian tidak hanya tertumpu kepada statistik; perlu mengambil kira keberkesanan pelaksanaan dan hasil sebenar yang dicapai.
- Tujuh sektor strategik dikenal pasti untuk diperkasakan: perdagangan borong, halal dan makanan, pertanian, teknologi maklumat, pelancongan, perkhidmatan perniagaan, logistik.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, sasaran baharu itu merupakan antara usaha memperkukuh peranan syarikat Bumiputera supaya dapat berkembang pada skala lebih besar, bersaing dalam sektor bernilai tinggi, seterusnya meningkatkan penguasaan ekonomi Bumiputera.
“Apabila PuTERA35 ini dibangunkan dengan meletakkan sasaran 10 tahun menjelang 2035, pada masa sama saya melihat ada keperluan untuk kita menyemak dari segi pencapaian keseluruhan sehingga setakat ini.
“Jadi, cadangannya menjelang hujung tahun ini atau awal tahun depan, kita mengharapkan agar satu pelaporan menyeluruh mengenai pencapaian ketika ini dapat disediakan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Forum Penciptaan Kekayaan dan Penguasaan Korporat Bumiputera di sini, hari ini.
Jelas beliau, laporan berkenaan akan membolehkan kerajaan menilai tahap pencapaian semasa serta mengenal pasti anjakan yang diperlukan bagi memastikan agenda itu dapat direalisasikan.
“Penilaian PuTERA35 tidak seharusnya hanya tertumpu kepada statistik atau angka, sebaliknya perlu mengambil kira keberkesanan proses pelaksanaan dan hasil sebenar yang ingin dicapai,” katanya lagi.
Menerusi forum itu, tujuh sektor strategik dilihat mempunyai ruang yang signifikan untuk meningkatkan penyertaan dan penguasaan Bumiputera, selaras dengan tumpuan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) terhadap sektor berpotensi serta industri pertumbuhan tinggi bernilai tinggi (HGHV).
Tujuh sektor berkenaan ialah perdagangan borong Bumiputera, halal dan makanan, pertanian dan industri asas tani, teknologi maklumat, pelancongan, perkhidmatan perniagaan, serta logistik.