
KUALA LUMPUR, 7 September – Institusi tempatan meneruskan belian bersih di Bursa Malaysia untuk minggu keenam berturut-turut, dengan merekodkan aliran masuk bersih sebanyak RM120.3 juta pada minggu lepas.
- Pelabur runcit merekodkan pembelian bersih dua minggu berturut-turut, dengan aliran masuk sebanyak RM520 juta.
- Institusi asing terus menjadi penjual bersih untuk minggu kelima, merekodkan aliran keluar bersih sebanyak RM640.3 juta.
- Aliran keluar asing tertinggi direkodkan pada Selasa, diikuti Khamis, Rabu dan Jumaat.
- Purata dagangan harian menurun; runcit -10.8%, institusi tempatan -9.4% dan asing -30.5%.
Menurut MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB), trend sama turut direkodkan pelabur runcit dengan pembelian bersih untuk tempoh dua minggu berturut-turut, dengan kemasukan aliran berjumlah RM520 juta.
Sebaliknya, institusi asing melanjutkan jualan bersih memasuki minggu kelima di Bursa Malaysia, merekodkan aliran keluar bersih sebanyak RM640.3 juta pada minggu lepas.
“Aktiviti jualan ini berlaku semasa minggu dagangan yang pendek, dengan pasaran ditutup pada Isnin (31 Ogos) sempena Hari Kebangsaan Malaysia.
“Institusi asing merupakan penjual bersih sepanjang minggu tersebut. Aliran keluar tertinggi direkodkan pada Selasa sebanyak RM488.4 juta, diikuti oleh Khamis (RM74.6 juta), Rabu (RM56.8 juta) dan Jumaat (RM20.5 juta),” menurut MBSB IB dalam Laporan Aliran Dana mingguan untuk minggu berakhir 4 September 2026.
Bank pelaburan itu memaklumkan, purata jumlah dagangan harian menyaksikan penurunan menyeluruh, dengan pelabur runcit susut sebanyak 10.8 peratus, institusi tempatan pada 9.4 peratus dan institusi asing 30.5 peratus.
Tambahnya, tiga sektor utama yang merekodkan aliran masuk bersih daripada institusi asing ialah perladangan sebanyak RM138.2 juta, diikuti oleh pengangkutan dan logistik (RM81.4 juta), serta tenaga (RM40.3 juta).
Sementara itu, tiga sektor teratas yang merekodkan aliran keluar asing bersih ialah perkhidmatan kewangan dengan aliran keluar sebanyak RM462.9 juta, diikuti oleh teknologi (RM118.8 juta) dan utiliti (RM106.8 juta).