
KUALA LUMPUR, 7 September – Kementerian Ekonomi akan meneliti mekanisme ketelusan dan keadilan dalam tawaran gaji bagi memastikan pertumbuhan ekonomi dapat diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan rakyat.
- Penelitian termasuk cadangan Dasar Peluang Saksama untuk memastikan golongan muda dan pekerja mendapat pulangan gaji lebih setimpal.
- Jurang gaji median sekitar RM3,600 terutama dalam kalangan Bumiputera perlu diberi perhatian.
- Kerajaan menekankan keterbukaan dan ketelusan dalam tawaran gaji, bukan penetapan angka mutlak.
- Indikator Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) akan digunakan dan mekanisme sesuai akan diperkenal supaya gaji menampung perbelanjaan rakyat.
Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, penelitian itu termasuk cadangan untuk mempertimbangkan Dasar Peluang Saksama, khususnya bagi memastikan golongan muda dan pekerja mendapat pulangan gaji yang lebih setimpal.
“Usaha ini perlu selepas kita meneliti jurang gaji median sekitar RM3,600 terutamanya dalam kalangan Bumiputera.
“Dari segi peluang dan ruang untuk memastikan pulangan gaji lebih baik terutamanya untuk kita pastikan dari segi pecahan pampasan kepada pekerja (CE) dapat ditingkatkan peratusannya adalah dengan melihat dari segi ketelusan gaji dalam kalangan pekerja,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Forum Penciptaan Kekayaan dan Penguasaan Korporat Bumiputera di sini, hari ini.
Mengulas mengenai kadar gaji ideal, katanya kerajaan tidak menetapkan satu angka mutlak, sebaliknya memberi tumpuan kepada aspek keterbukaan dan ketelusan dalam tawaran gaji.
Jelas beliau, kerajaan akan melihat mekanisme yang sesuai untuk diperkenalkan, selain memastikan gaji yang diterima dapat memenuhi keperluan perbelanjaan rakyat.
“Sebab itu kita ada indikator yang dikenali indikator Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW), yang merentasi dari segi perbezaan lokasi, dari segi jumlah isi rumah dan sebagainya.
“Dalam konteks gaji atau keterbukaan mengenai gaji yang ditawarkan, perkara itu lebih menjurus kepada pendekatan atau mekanisme yang digunakan, dan bukannya sekadar angka mutlak yang ingin disasarkan,” jelasnya.
Sebelum ini, Pengerusi Kumpulan Penciptaan Kekayaan dan Penguasaan Korporat, Tan Sri Abdul Wahid Omar mencadangkan kerajaan untuk mempertimbang langkah memperkenalkan Dasar Peluang Saksama bagi memastikan semua rakyat terutama Bumiputera mendapat peluang pekerjaan dan perniagaan yang saksama.
Menurut beliau, cadangan itu wajar diangkat kerana penciptaan kekayaan dan penguasaan korporat dalam kalangan Bumiputera adalah masih rendah berbanding bukan Bumiputera.