
BANDARAYA MELAKA, 7 September – Lebih 2,000 peserta dijangka menyertai Program Keretapi Sarong Peringkat Negeri Melaka 2026 yang bakal berlangsung pada 16 September ini bersempena sambutan Hari Malaysia.
- Perarakan di Bandar Hilir dari Muzium Kesultanan Melayu Melaka ke Menara Taming Sari, jarak kira-kira dua kilometer.
- Peserta berarak mengenakan pakaian tradisional kaum masing-masing sebagai tema utama acara tahun ini.
- Acara sampingan termasuk persembahan kebudayaan di Muzium Rakyat dan lokasi sepanjang laluan perarakan.
- Penganjuran selari dengan usaha Tahun Melawat Melaka 2.0 bagi menarik pelancong dan mempromosi warisan negeri.
Program bersempena sambutan Hari Malaysia itu bakal menghidupkan suasana di kawasan Bandar Hilir menerusi perarakan peserta yang mengenakan pelbagai busana tradisional masyarakat Malaysia.
Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka, Nasrul Ahmad berkata, peserta perarakan akan berkumpul dan bermula di Muzium Kesultanan Melayu Melaka hingga ke Menara Taming Sari sejauh kira-kira dua kilometer.
Katanya, sepanjang laluan, beberapa acara sampingan akan diadakan termasuk persembahan kebudayaan di kawasan Muzium Rakyat dan lokasi lain sebelum peserta meneruskan perjalanan ke Menara Taming Sari.
“Dan yang uniknya, pada tahun ini, Keretapi Sarong ini akan berarak dengan bertemakan pakaian tradisional kaum masing-masing.
“Mereka akan bersama-sama menyemarakkan semangat cintakan tanah air sempena sambutan Hari Malaysia yang akan berlangsung pada 16 September tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Keretapi Sarong Melaka 2026 di Bandaraya Melaka.
Penganjuran Keretapi Sarong Melaka 2026 turut dilihat selari dengan usaha kerajaan negeri menerusi Tahun Melawat Melaka 2.0 dalam menarik lebih ramai pengunjung melalui acara yang mengangkat identiti, warisan dan budaya negeri.