Lebih 53 maut, lebih 200 cedera dalam serangan Houthi di selatan Yaman

Foto AFP

ISTANBUL, 20 Oktober – Lebih 53 orang terbunuh manakala lebih 200 lagi cedera pada Isnin dalam serangan Houthi yang menyasarkan sebuah pusat latihan keselamatan di Wilayah Shabwa, selatan Yaman, lapor Anadolu Ajansi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Serangan Houthi menyasarkan pusat latihan keselamatan di Wilayah Shabwa ketika anggota baru pasukan keselamatan menjalani latihan.
  • Pihak berkuasa tempatan gesa tindakan ketenteraan dan keselamatan segera serta pengukuhan pertahanan oleh Kerajaan Yaman dan gabungan pimpinan Arab Saudi.
  • Kumpulan Houthi belum mengeluarkan sebarang komen serangan ini yang berlaku ketika permusuhan dengan pasukan pro kerajaan semakin memuncak.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan menerusi platform media sosial Facebook, Kerajaan Wilayah Shabwa memaklumkan bahawa serangan itu menyasarkan kemudahan berkenaan ketika anggota baharu pasukan keselamatan dalaman sedang menjalani latihan.

“Skala tragedi ini tidak memadai ditangani dengan kecaman semata-mata, sebaliknya memerlukan langkah ketenteraan dan keselamatan segera bagi menghalang serangan seumpama ini daripada berulang,” tegas pihak berkuasa tempatan itu.

Pihak berkuasa turut menggesa Kerajaan Yaman dan gabungan pimpinan Arab Saudi supaya memperkukuh keupayaan pertahanan wilayah berkenaan.

Kumpulan Houthi tidak memberikan sebarang komen segera berhubung kenyataan itu.

Serangan berlaku ketika permusuhan antara Kumpulan Houthi dengan pasukan yang berpihak kepada Kerajaan Yaman yang diiktiraf masyarakat antarabangsa dan disokong gabungan pimpinan Arab Saudi semakin memuncak.

Yaman terus dilanda konflik sejak 2014, apabila Kumpulan Houthi menawan ibu negara Sanaa dan sebahagian besar kawasan utara negara itu.- BERNAMA-ANADOLU

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.