
TEHRAN, 20 Oktober – Kementerian Luar Iran pada Isnin memanggil Duta Jerman ke Tehran, Axel Dittmann, susulan dakwaan negara itu yang disifatkan sebagai tuduhan politik tidak berasas terhadap negara berkenaan.
- Jerman memanggil duta Iran berhubung dakwaan penglibatan Tehran dalam komplot pembunuhan terhadap tokoh awam pro-Israel.
- Mahkamah Hamburg mensabitkan dua lelaki dari Denmark dan Afghanistan merancang serangan ke atas pemimpin komuniti Yahudi Jerman.
- Ali Hassan S. dihukum lapan tahun enam bulan; rakan subahat Afghanistan empat tahun enam bulan, kedua-dua mereka diekstradisi dari Denmark.
- Kementerian Luar Iran menuduh dakwaan itu bermotif politik, merujuk taktik Israel dan negara Barat serta menuduh kredibiliti kehakiman Jerman terjejas.
Tindakan itu sebagai tindak balas terhadap keputusan Jerman memanggil duta Iran pada hari sama berhubung dakwaan penglibatan Tehran dalam komplot membunuh tokoh awam pro-Israel.
Dalam kenyataan yang disiarkan agensi berita rasmi IRNA, Kementerian Luar Iran mendakwa tuduhan berkaitan keselamatan terhadap negara itu sudah lama digunakan oleh Israel dan beberapa negara Barat sebagai taktik politik.
“Usaha memberikan asas perundangan kepada dakwaan politik yang tidak berasas bukan sahaja gagal meningkatkan kredibiliti tuduhan berkenaan, malah turut menjejaskan kewibawaan badan kehakiman Jerman,” menurut kenyataan itu.
Khamis lalu, sebuah mahkamah di Hamburg mensabitkan dua lelaki, masing-masing warga Denmark dan Afghanistan, atas kesalahan merancang serangan terhadap Presiden Majlis Pusat Yahudi di Jerman dan ketua Persatuan Jerman-Israel.
Sementara itu, Kementerian Luar Jerman menerusi platform X mengesahkan duta Iran telah dipanggil dan menegaskan Tehran tidak akan dibenarkan mengancam masyarakat bebas negara itu.
“Cubaan pembunuhan itu akan dikenakan tindakan undang-undang,” menurut kenyataan berkenaan.
“Kami tidak akan bertolak ansur terhadap serangan ke atas masyarakat Yahudi atau pihak yang mempertahankannya di mana sahaja, dan sudah tentu di Jerman.
Lelaki warga Denmark Ali Hassan S. dijatuhi hukuman penjara lapan tahun enam bulan, manakala lelaki warga Afghanistan yang direkrut sebagai rakan subahatnya dipenjara empat tahun enam bulan.
Kedua-duanya ditahan di Denmark tahun lalu sebelum diekstradisi ke Jerman untuk dibicarakan.
Ketika menjatuhkan hukuman, hakim menyatakan kedua-dua lelaki itu bersalah melakukan aktiviti pengganas yang didalangi Iran.
Ketika pertuduhan terhadap mereka diumumkan, Kedutaan Iran di Berlin menolak dakwaan berkenaan dan menyifatkannya sebagai tuduhan tidak berasas yang dibuat atas desakan pihak yang memusuhi Iran.-AFP