Ukraine dakwa AS lengahkan bekalan peluru

Gelanggang ais Ukraine rosak akibat serangan udara Rusia/Foto AFP

KIEV, 20 Oktober – Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky mendakwa Amerika Syarikat (AS) sengaja melengahkan penghantaran peluru berpandu pemintas ke negaranya, ketika ketegangan antara Kiev dan Washington semakin memuncak berhubung bantuan ketenteraan serta perkongsian risikan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Beberapa negara Eropah bersedia memindahkan peluru berpandu Patriot, namun masih menunggu kebenaran Washington.
  • Donald Trump menawarkan pertemuan dengan Putin dan Xi di China; Kiev bimbang Ukraine mungkin diketepikan dalam perbincangan perang.
  • Serangan peluru berpandu Rusia menyebabkan lebih 500,000 terputus bekalan elektrik; enam maut termasuk tiga kanak-kanak.

Zelensky mendakwa penghantaran peluru berpandu yang telah dibayar oleh beberapa negara Eropah masih tertangguh kerana menunggu kelulusan Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth.

Beliau turut memaklumkan beberapa negara Eropah bersedia memindahkan peluru berpandu pemintas Patriot daripada simpanan masing-masing, namun masih menunggu kebenaran Washington.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden AS, Donald Trump menyatakan kesediaan untuk bertemu Presiden Rusia, Vladimir Putin dan Presiden China, Xi Jinping di China bulan depan bagi membincangkan isu perlucutan senjata nuklear, selain kemungkinan membincangkan perang di Ukraine.

Cadangan itu mencetuskan kebimbangan Kiev bahawa Ukraine mungkin diketepikan dalam rundingan berhubung konflik berkenaan.

Trump turut mengkritik Zelensky dengan menyifatkan beliau tidak memahami isu yang dibangkitkan, selain mencadangkan sudah tiba masanya individu lain mewakili Ukraine dalam rundingan bagi menamatkan perang.

Menteri Luar Ukraine, Andriy Sybiga pula memberi amaran bahawa pertemuan sedemikian hanya akan menggalakkan Putin meneruskan perang.

Sementara itu, Zelensky mendakwa Ukraine tidak menerima amaran awal daripada rakan antarabangsa berhubung serangan peluru berpandu Rusia terbaharu yang menyasarkan kemudahan tenaga serta infrastruktur di seluruh negara.

Serangan itu menyebabkan lebih 500,000 penduduk terputus bekalan elektrik, sekali gus memaksa kerja pembaikan kecemasan dilakukan terhadap rangkaian tenaga yang terjejas.

Pihak berkuasa Ukraine turut melaporkan enam individu, termasuk tiga kanak-kanak, terbunuh dalam serangan berhampiran bandar Kharkiv di timur laut negara itu.

Bagaimanapun, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio menafikan dakwaan bahawa perkongsian risikan dengan Ukraine telah ditarik balik, sekali gus menyokong pendirian Trump supaya Zelensky memberi tumpuan kepada usaha menamatkan konflik.

Rundingan bagi menamatkan perang yang tercetus sejak pencerobohan besar-besaran Rusia pada 2022 itu masih menemui jalan buntu, susulan keengganan Moscow menggugurkan tuntutan wilayahnya dan pendirian tegas Kiev menolak sebarang usaha memaksanya menyerahkan wilayah Ukraine.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.