Colombia: 14 maut lombong emas runtuh

Foto Hiasan

BOGOTA, 20 Oktober – Sekurang-kurangnya 14 orang maut manakala tujuh lagi cedera dalam kejadian tanah runtuh di sebuah lombong emas haram di barat daya Colombia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi mencari mangsa terselamat telah ditamatkan kerana keadaan lokasi dan halangan logistik.
  • Kumpulan bersenjata menguasai perdagangan emas haram, juga terlibat pengedaran dadah dan pemerasan, menyukarkan akses penyelamat.
  • Penduduk bergantung pada perlombongan haram berisiko kerana kekurangan alternatif pendapatan, menjadikan kemalangan lombong kerap berlaku.

Setiausaha Keamanan dan Keselamatan Wilayah Narino, Alex Gonzalez, mengesahkan angka korban terbaharu itu kepada rangkaian televisyen Caracol pada Isnin, sambil memaklumkan operasi mencari mangsa terselamat telah ditamatkan.

Pasukan penyelamat berdepan kesukaran untuk sampai ke lokasi kejadian berikutan bentuk muka bumi yang mencabar serta kehadiran kumpulan jenayah di kawasan berkenaan, menurut pejabat gabenor.

Narino, yang terletak berhampiran sempadan Ecuador, merupakan kawasan tumpuan kegiatan perlombongan emas haram.

Kumpulan bersenjata dilaporkan menguasai perdagangan emas haram, selain terlibat dalam pengedaran dadah dan pemerasan.

Rakaman video yang dikongsi di media sosial menunjukkan penduduk menggunakan jengkaut untuk mengeluarkan mayat dari kawasan lombong sebelum memindahkannya ke sebuah sampan di sungai berhampiran.

Menurut sumber daripada pejabat gabenor kepada AFP, masyarakat setempat terpaksa bergantung pada kegiatan perlombongan berisiko tinggi itu kerana kekurangan pilihan sumber pendapatan alternatif, susulan kemerosotan kegiatan perlombongan tradisional berskala kecil.

Insiden kemalangan lombong kerap berlaku di Colombia, khususnya di tapak perlombongan yang tidak dikawal selia.

Penduduk di kawasan kejadian turut berdepan ancaman pembunuhan terpilih oleh kumpulan bersenjata, susulan dakwaan bekerjasama dengan pasukan keselamatan atau organisasi pesaing, selain tuduhan mencuri emas.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.