Lebih 40 orang awam maut diserang

Foto AFP

BAMAKO, 20 Oktober – Lebih 40 orang awam terbunuh dalam serangan lelaki bersenjata terhadap beberapa kem di wilayah Menaka, timur laut Mali, pada hujung minggu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penyerang menaiki puluhan motosikal, melepaskan tembakan dan membakar rumah di beberapa kem yang didiami masyarakat Daoussahak.
  • Biro eksekutif Daoussahak menuduh Negara Islam dan sumber keselamatan melaporkan korban dipercayai sehingga 50 orang.
  • Serangan dipercayai tindakan balas terhadap operasi tentera dan serangan MSA; masyarakat mengutuk sebagai pembunuhan beramai-ramai dan minta bantuan segera.

Menurut sumber keselamatan dan komuniti kepada AFP pada Isnin, penyerang yang menaiki motosikal menyasarkan kem yang kebanyakannya didiami masyarakat Daoussahak.

Biro eksekutif masyarakat itu menyalahkan kumpulan Negara Islam (IS) atas serangan berkenaan, yang menurutnya mengorbankan 48 orang awam di Tagadayat pada Ahad.

Sumber keselamatan memaklumkan, angka korban dipercayai mencecah 50 orang, termasuk golongan muda dan warga emas, manakala penduduk yang melarikan diri daripada keganasan mula tiba di bandar Menaka.

Seorang penduduk tempatan berkata, penyerang tiba dengan puluhan motosikal sebelum melepaskan tembakan dan membakar rumah. Mereka turut mendakwa melihat puluhan mayat di lokasi kejadian.

Serangan itu dipercayai bermotifkan tindakan balas terhadap operasi ketenteraan yang dijalankan di kawasan berkenaan serta serangan oleh Gerakan Pembebasan Azawad (MSA), menurut sumber keselamatan.

Sementara itu, tentera Mali memaklumkan pihaknya melaksanakan operasi di kawasan sama pada Sabtu, dengan menyasarkan sebuah pangkalan yang menempatkan anggota kumpulan pengganas dan kelengkapan ketenteraan.

Mali berdepan krisis keselamatan sejak 2012, melibatkan tentera negara itu bersama sekutu Rusia dalam konflik dengan kumpulan militan, kumpulan pemisah Tuareg dan kumpulan jenayah.

Biro eksekutif masyarakat Daoussahak mengutuk serangan itu sebagai pembunuhan beramai-ramai serta menggesa bantuan kemanusiaan segera disalurkan kepada penduduk yang kehilangan tempat tinggal.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.