Inflasi, pengangguran penentu hala tuju OPR

Pengarah Strategi Pelaburan dan Pakar Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan – Foto RTM

KUALA LUMPUR, 3 September – Pergerakan inflasi dan kadar pengangguran antara petunjuk utama dalam menetapkan hala tuju Kadar Dasar Semalaman (OPR).

RINGKASAN BERITA AI
  • Penilaian dasar monetari perlu mempertimbangkan trend jangka masa kerana kesan perubahan kadar faedah lambat terhadap aktiviti ekonomi.
  • Jika inflasi meningkat secara berterusan, ruang untuk menaikkan kadar faedah menjadi lebih besar.
  • Sebaliknya, inflasi terkawal tetapi pengangguran meningkat menguatkan hujah untuk dasar monetari yang menyokong pertumbuhan.
  • Pengekalan OPR memberi kepastian kepada isi rumah dan perniagaan, membantu pengurusan kos pembiayaan dan perancangan pelaburan.

Pengarah Strategi Pelaburan dan Pakar Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata, kedua-dua indikator itu memberi gambaran mengenai keseimbangan antara tekanan harga dan keadaan pasaran buruh.

Menurutnya, penilaian terhadap dasar monetari perlu mengambil kira trend dalam tempoh tertentu bagi mendapatkan gambaran yang lebih menyeluruh mengenai keadaan ekonomi kerana kesan perubahan kadar faedah mengambil masa untuk diterjemahkan kepada aktiviti ekonomi.

“Jika inflasi mula meningkat secara berterusan dan menunjukkan tekanan permintaan yang semakin kukuh, ruang untuk kadar faedah dinaikkan akan menjadi lebih besar.

“Sebaliknya, jika tekanan inflasi kekal terkawal tetapi kadar pengangguran meningkat dan keadaan pasaran buruh semakin lemah, terdapat alasan yang lebih kukuh untuk mempertimbangkan dasar monetari yang lebih menyokong pertumbuhan, katanya.

Beliau berkata, sekiranya OPR dikekalkan pada 2.75 peratus, kadar itu masih dilihat sesuai untuk mengimbangi keperluan menyokong aktiviti ekonomi dan memastikan tekanan harga kekal terkawal.

Pengekalan kadar itu juga memberi kepastian kepada isi rumah dan perniagaan dalam mengurus kos pembiayaan serta merancang perbelanjaan dan pelaburan.

Bagi perniagaan, kestabilan kadar membantu perancangan modal kerja dan pengembangan kapasiti, manakala isi rumah mendapat lebih kepastian terhadap kos pinjaman, khususnya pembiayaan berkadar terapung.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.