Penyu belimbing kembali ke perairan Terengganu selepas hampir sedekad

Jabatan Perikanan Negeri Terengganu laksanakan pemeriksaan di lokasi penyu belimbing dipercayai mendarat di Pantai Kampung Jambu Bongkok, Dungun./ Jab. Perikanan Terengganu

KUALA TERENGGANU, 3 Sept – Kehadiran semula penyu belimbing di perairan Terengganu selepas hampir sedekad tidak dijumpai memberikan petanda positif terhadap kelangsungan habitat spesies terancam itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • 44 biji telur saiz anggaran 52 mm ditemui dan ditempatkan di Hatcheri Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Rantau Abang.
  • Kali terakhir penyu belimbing dipercayai mendarat untuk bertelur adalah pada 2017 di Pantai Kampung Jambu Bongkok, Dungun.
  • Penyu belimbing bermusim; satu musim boleh bertelur lima hingga lapan kali dan mungkin naik kembali dalam beberapa minggu.
  • Jabatan Perikanan gesa warga jaga kebersihan pantai dan ingatkan tindakan tegas di bawah Enakmen Penyu Terengganu 1951, Pindaan 2021.

Kali terakhir spesies berkenaan dipercayai mendarat untuk bertelur adalah pada 2017 di Pantai Kampung Jambu Bongkok, Dungun.

Pengarah Perikanan Negeri Terengganu, Pang Anak Nyukang berkata, penyu belimbing berkenaan dipercayai mendarat di Kampung Pasir Putih, Marang pada Selasa lepas.

Katanya, sebanyak 44 biji telur dengan anggaran saiz 52 milimeter yang ditemukan telah ditempatkan di Hatcheri Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Rantau Abang.

“Penyu ini bermusim. Dalam satu musim bertelur, ia boleh naik ke darat untuk bertelur lima hingga lapan kali.

“Bagaimanapun, kita tidak tahu tempat di mana ia akan bertelur. Selepas turun, dalam tempoh beberapa minggu ia akan naik kembali dan keadaan itu dipanggil musim bertelur,” katanya kepada pemberita RTM ketika ditemu bual di Pejabat Perikanan Negeri Terengganu, Chendering.

Antara telur penyu yang ditemukan di Pantai Kampung Jambu Bongkok./ Jab. Perikanan Terengganu

Sementara itu, Pang turut memaklumkan, pihaknya sentiasa bersedia kerana menjangkakan pendaratan seterusnya spesies terancam itu pada masa akan datang.

“Kita menganggarkan bahawa akan ada pendaratan penyu belimbing pada masa akan datang.

“Jadi, Jabatan Perikanan mohon kepada semua warga negeri Terengganu khususnya supaya menjaga kebersihan pantai di Terengganu kerana penyu belimbing ini sensitif kepada alam sekitar dan kebersihan,” katanya.

 

Beliau berkata, sebarang aktiviti penjualan, pemilikan dan gangguan terhadap semua spesies penyu akan dikenakan tindakan tegas di bawah Enakmen Penyu Terengganu 1951, Pindaan 2021.

Pemburuan spesies berkenaan juga boleh didakwa di bawah Seksyen 27 Akta Perikanan 1985.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.