Festival Citra Mutiara sasar tarik 10,000 pengunjung

Foto RTM

GEORGETOWN, 3 September – 10,000 pengunjung dijangka akan memeriahkan Festival Citra Mutiara (FCM) 2026 yang bakal berlangsung di Lebuh Armenian, di sini selama tiga hari bermula 11 September.

RINGKASAN BERITA AI
  • Festival menonjolkan kepelbagaian identiti, etnik, tradisi dan budaya pelbagai kaum di Pulau Pinang.
  • Mengukuhkan kedudukan Georgetown sebagai destinasi pelancongan budaya dan Tapak Warisan Dunia UNESCO.
  • Menampilkan pertandingan Boria, perarakan budaya, demonstrasi makanan warisan, pencarian harta karun, pertandingan kolam dan Diabolo untuk menarik pelawat.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai berkata, program tersebut akan mengetengahkan kepelbagaian identiti, etnik, tradisi dan budaya pelbagai kaum di negeri itu.

Sekali gus, mengukuhkan kedudukan Georgetown sebagai destinasi pelancongan budaya yang turut diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Antara yang menjadi tarikan termasuk Pertandingan Boria kategori cilik dan terbuka, perarakan Budaya Citra Mutiara, demonstrasi makanan dan minuman warisan negeri, pencarian harta karun (Treasure Hunt), pertandingan mencorak Kolam (Ranggoli) dan pertandingan Diabolo (yo-yo cina).

“Program berkenaan dilihat mampu menjadi tarikan pelancongan budaya, khususnya dengan lokasinya yang strategik di Lebuh Armenian, Georgetown.

“Ia dijangka menarik kehadiran penduduk setempat, pelancong domestik dan pelancong asing untuk bersama-sama menikmati kepelbagaian budaya serta kesenian warisan Pulau Pinang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Sidang Media Festival Citra Mutiara (FCM) yang berlangsung di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Pulau Pinang di sini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.