Kewangan negara dijangka kukuh semula dalam tempoh 2-3 tahun

Pengarah Kanan Ekonomi dan Kewangan, Pejabat Perdana Menteri, Nurhisham Hussein ketika menjadi panel Dialog Ummah: Realiti dan Masa Depan Tabung Haji di Bangi, Selangor – Foto RTM

BANGI, 3 September – Kerajaan menjangkakan kedudukan kewangan negara akan kembali kukuh dalam tempoh dua hingga tiga tahun menerusi beberapa langkah bagi mengurangkan defisit secara berperingkat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengukuhan kewangan memerlukan masa kerana pelbagai komitmen kewangan masih perlu ditanggung.
  • Kerajaan mengambil langkah mengurangkan tekanan kewangan; proses perlahan dan berperingkat.
  • Komitmen kewangan tidak hanya melibatkan Tabung Haji, tetapi juga tanggungan daripada tahun-tahun sebelumnya.
  • Antara liabiliti utama termasuk Felda dan FGV sekitar RM10 bilion, baki bon 1MDB dan projek PFI.

Pengarah Kanan Ekonomi dan Kewangan, Pejabat Perdana Menteri, Nurhisham Hussein, berkata usaha mengukuhkan semula kewangan kerajaan memerlukan masa berikutan pelbagai komitmen kewangan yang masih perlu ditanggung.

“Kerajaan mengambil beberapa langkah untuk mengurangkan tekanan kewangan kerajaan. Tapi ia adalah proses yang perlahan dan akan mengambil masa.

“Insya-Allah dalam masa dua hingga tiga tahun ini, defisit pun akan dikurangkan dan kewangan kerajaan akan dipulihkan semula,” katanya pada program Dialog Ummah: Realiti dan Masa Depan Tabung Haji di sini.

Jelasnya lagi, komitmen kewangan kerajaan bukan hanya membabitkan isu Tabung Haji, sebaliknya turut merangkumi pelbagai tanggungan daripada tahun-tahun sebelumnya.

Katanya, antara komitmen berkenaan ialah berkaitan Felda dan FGV yang dianggarkan mencecah RM10 bilion, selain baki bon 1MDB serta projek pembiayaan inisiatif swasta (PFI) yang turut melibatkan jumlah besar.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.