Laporan RCI TH wajar jadi rujukan wajib institusi urus dana rakyat

Pengarah Kanan Ekonomi dan Kewangan, Pejabat Perdana Menteri, Nurhisham Hussein (kiri), ketika menjadi panel Dialog Ummah: Realiti dan Masa Depan Tabung Haji di Bangi, Selangor – Foto RTM

BANGI, 3 September – Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) wajar dijadikan bahan rujukan wajib oleh semua institusi yang menguruskan dana dan amanah rakyat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kepincangan tadbir urus, semak imbang dan kawalan dalaman boleh menyebabkan masalah sama di mana-mana institusi.
  • Pengajaran daripada siasatan harus digunakan oleh semua pihak untuk memperkukuh tadbir urus, semak imbang dan kawalan dalaman.
  • Jangan libatkan ahli politik aktif dalam pengurusan dana awam untuk elak konflik kepentingan dan salah guna kuasa.

Pengarah Kanan Ekonomi dan Kewangan, Pejabat Perdana Menteri, Nurhisham Hussein, berkata kepincangaN dalam TH boleh berlaku di mana-mana institusi sekiranya aspek tadbir urus, mekanisme semak dan imbang serta kawalan dalaman tidak dilaksanakan dengan sewajarnya.

“Apa yang telah berlaku dekat Tabung Haji itu sebenarnya boleh berlaku di mana-mana institusi.

“Saya rasa RCI itu sepatutnya menjadi ‘mandatory reading‘ untuk mana-mana institusi yang memegang amanah rakyat,” katanya pada sidang media di sini.

Menurut Nurhisham, penambahbaikan dalam aspek tadbir urus, semak dan imbang serta kawalan perlu dilaksanakan di semua institusi kewangan, sama ada berskala besar mahupun korporat lebih kecil.

Tegasnya, pengajaran daripada RCI berkenaan tidak seharusnya dilihat hanya sebagai panduan kepada TH, sebaliknya perlu dimanfaatkan semua institusi yang menguruskan wang dan amanah rakyat.

Bagaimanapun, Nurhisham berkata, sebarang sistem kawalan dan semak imbang yang diwujudkan tetap bergantung kepada integriti individu yang diberikan tanggungjawab menguruskan dana awam.

Beliau pada masa sama turut menyokong penuh langkah tidak melibatkan ahli politik aktif dalam pengurusan mana-mana dana awam bagi mengelakkan konflik kepentingan dan salah guna kuasa.

“Sebab itu penting di mana kita tidak ada ahli politik aktif yang terlibat dalam pengurusan mana-mana dana awam.

“Ini, pada saya, adalah satu pengajaran untuk kita semua, bukan untuk Tabung Haji sahaja,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.