
SEPANG, 2 September – Sebanyak 10,000 tiket Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026 di bawah kuota MADANI habis terjual setakat hari ini.
- Kementerian meneliti penambahan kuota MADANI jika ada kapasiti tambahan termasuk pembukaan kawasan tempat duduk baharu.
- Keseluruhan tiket perlumbaan dilaporkan habis terjual; kehadiran dijangka melebihi 150,000 berdasarkan kapasiti Litar Antarabangsa Sepang.
- Persiapan berada pada fasa positif dengan mesyuarat teknikal mingguan, kerjasama agensi, dan sasaran siap fasiliti tujuh hari bekerja sebelum perlumbaan.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, pihaknya sedang meneliti kemungkinan menambah kuota berkenaan sekiranya terdapat kapasiti tambahan, termasuk pembukaan beberapa kawasan tempat duduk baharu.
“Untuk tiket MADANI sahaja, secara keseluruhannya sebanyak 10,000 tiket disediakan.
“Namun, pihak kami sedang meneliti kemungkinan untuk membuat penambahan bagi kuota tiket MADANI dengan mempertimbangkan pembukaan beberapa kawasan tempat duduk baharu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran Pendaftaran Sukarelawan Rakan Muda sempena penganjuran Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026, di sini, hari ini.
Menurutnya, keseluruhan tiket bagi perlumbaan berkenaan turut habis terjual, dengan jumlah kehadiran dijangka melebihi 150,000 orang berdasarkan kapasiti yang tersedia di Litar Antarabangsa Sepang.
Dalam perkembangan berkaitan, Dr Mohammed Taufiq berkata persiapan penganjuran Formula 1 kini berada pada fasa positif, dengan mesyuarat Jawatankuasa Teknikal diadakan setiap minggu.
Katanya, kerjasama bersepadu antara pihak berkuasa dan kementerian berkaitan turut diperkukuh bagi memastikan aspek pengangkutan, fasiliti dan keselamatan dapat diselaraskan dengan baik.
Kerja-kerja persiapan serta fasiliti disasarkan selesai sekurang-kurangnya tujuh hari bekerja sebelum perlumbaan berlangsung.
Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026 dijadual berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang dari 2 hingga 4 Oktober depan.