Beasley kemuka cadangan jurulatih, barisan teknikal baharu

Foto RTM

SEPANG, 2 September – Pengarah Teknikal Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), John Beasley akan mengemukakan cadangan calon jurulatih dan barisan teknikal baharu bagi memastikan kesinambungan pembangunan sukan berbasikal negara selepas kontraknya berakhir.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menteri Belia dan Sukan berkata penamatan kontrak tidak akan menjejaskan kesinambungan program pembangunan berbasikal; perancangan ikut program sedia ada.
  • Pemilihan jurulatih dan barisan teknikal baharu tidak dibuat secara bersendirian; pandangan dan pelan tindakan yang dibincangkan akan diambil kira.
  • Setiap calon perlu memenuhi piawaian prestasi ditetapkan untuk memastikan pembangunan sukan berbasikal negara kekal pada tahap terbaik.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, tamatnya kontrak Beasley tidak akan menjejaskan kesinambungan program pembangunan berbasikal negara, sebaliknya perancangan seterusnya akan berpandukan program yang telah dirangka serta mengambil kira cadangan beliau.

“Berikutan penamatan kontrak John Beasley, perkara ini tidak tamat begitu sahaja. Ia akan disusuli dengan program kesinambungan yang telah dirancang.

“Perbincangan susulan berkaitan pemilihan jurulatih serta aspek teknikal akan menggunakan cadangan daripada John Beasley sendiri,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran Pendaftaran Sukarelawan Rakan Muda sempena penganjuran Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026, di sini, hari ini.

Dr Mohammed Taufiq berkata, pemilihan barisan teknikal baharu tidak akan dibuat secara bersendirian, sebaliknya mengambil kira pandangan dan pelan tindakan yang telah dibincangkan bersama Beasley.

Katanya, setiap calon perlu memenuhi piawaian prestasi ditetapkan bagi memastikan pembangunan sukan berbasikal negara kekal pada tahap terbaik.

Beasley sebelum ini dilaporkan akan menamatkan khidmatnya bersama skuad berbasikal trek kebangsaan selepas Kejohanan Dunia di Shanghai, China, dari 14 hingga 18 Oktober ini.

Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh sebelum ini mengesahkan Beasley telah menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai pengarah teknikal dengan notis tiga bulan.

Beasley mula berkhidmat bersama skuad berbasikal trek kebangsaan pada pertengahan 2000 sebelum dilantik sebagai ketua jurulatih pada 2006, sebelum mengambil alih jawatan pengarah teknikal tahun lalu.

Antara pelumba yang pernah mendapat bimbingannya termasuk Rizal Tisin, Fatehah Mustapa, Shah Firdaus Sahrom, Nurul Izzah Izzati Asri dan ikon berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang.

Tarikh akhir perkhidmatan Beasley ditetapkan pada 31 Oktober ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.