Tenis Terbuka AS: Bu Yunchaokete cipta kejutan, tewaskan Jodar

Foto REUTERS

NEW YORK, 3 September – Pemain China, Bu Yunchaokete mencipta kejutan di Terbuka AS apabila menewaskan pilihan ke-12 dari Sepanyol, Rafael Jodar, 6-2, 6-1, 6-1 dalam aksi pusingan pertama, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Masuk sebagai lucky loser selepas Thanasi Kokkinakis menarik diri akibat kecederaan.
  • Kemenangan itu ialah kemenangan Grand Slam pertama selepas kalah dalam enam penampilan terdahulu.
  • Menghabiskan musim 2026 di kejohanan Challenger, menang dua gelaran atas rumput; pernah capai ranking tertinggi ke-64.

Bu, yang berada di ranking ke-124 dunia, hanya memerlukan kurang dua jam untuk menundukkan Jodar.

Pemain kelahiran Xinjiang tersebut pada asalnya tersingkir pada pusingan terakhir kelayakan, namun mendapat peluang beraksi sebagai pemain lucky loser selepas pemain Australia, Thanasi Kokkinakis menarik diri akibat kecederaan.

“Saya tiada apa untuk hilang sebagai lucky loser. Jadi saya hanya mahu menikmati penonton, gelanggang dan bermain menentang antara pemain terbaik tahun ini,” kata Bu selepas perlawanan.

Kemenangan itu merupakan kejayaan pertamanya di pentas Grand Slam selepas gagal memenangi sebarang perlawanan dalam enam penampilan terdahulu.

“Jika saya perlu menang perlawanan pertama dengan cara seperti ini, saya tidak kisah dengan lima atau enam kekalahan sebelum ini. Jadi, ini memang hebat,” katanya.

Bu banyak menghabiskan musim 2026 dalam kejohanan Challenger, iaitu saingan di bawah Jelajah ATP, dan berjaya memenangi dua kejohanan, kedua-duanya di atas gelanggang rumput.

Bu turut menyifatkan bekas pemain Britain, Andy Murray sebagai idola tenisnya selain mengagumi legenda China, Li Na, pemain China pertama memenangi gelaran perseorangan Grand Slam.

“Kami mempunyai ramai pemain hebat dalam saingan wanita, tetapi tidak begitu ramai dalam saingan lelaki,” katanya.

Bu pernah menghuni ranking tertinggi ke-64 dunia.

Sementara itu, Jodar mengakui kecewa dengan penampilan sulungnya di Terbuka AS selepas musim ini dimulakan dengan berada di ranking ke-165 dunia.

“Dia bermain lebih baik daripada saya dan itulah sebabnya dia menang hari ini,” kata pemain berusia 19 tahun itu. -AFP.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.