
KUANTAN, 1 Sept. – Polis kini menjalankan semakan terhadap rekod saman lampau pemandu lori tanker yang terlibat dalam kemalangan maut membabitkan 11 kenderaan di Kilometer 110.3 Lebuhraya Pantai Timur, arah Timur, berhampiran Lanchang, Temerloh, malam tadi.
- Pemandu lori tanker, Zulkarnain Md Noh, dilaporkan kritikal dan dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.
- Empat orang maut; pemandu SUV berusia 18 tahun mengalami kecederaan parah dan dirawat di hospital sama.
- Ujian darah dan air kencing akan dijalankan terhadap pemandu apabila keadaannya stabil bagi membantu siasatan.
- Siasatan awal mendapati lori tanker simen hilang kawalan; kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, ujian darah dan air kencing turut akan dijalankan terhadap pemandu berusia 52 tahun itu sekiranya, keadaannya kembali stabil bagi membantu siasatan.
Pemandu lori tanker, Zulkarnain Md Noh, kini dilaporkan kritikal dan sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.
Dalam kemalangan kira-kira pukul 10.55 malam itu, empat individu maut, manakala pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV), lelaki berusia 18 tahun turut mengalami kecederaan parah dan dirawat di hospital sama.
Mangsa yang maut ialah penumpang SUV, Seow Beng Wain, 55 tahun dari Kota Kemuning, Shah Alam, Selangor.
Turut maut, tiga sekeluarga iaitu Muhammad Nazatul Nazmi, 32 tahun, isterinya Nur Atiqah Sofiya Mohd Kazwan, 32 tahun, serta anak lelaki pasangan itu berusia empat tahun, yang beralamat di Bandar Damansara, Kuantan.
Proses bedah siasat bagi keeempat-empat mangsa dijalankan pagi ini di hospital berkenaan.
“Pemandu motor lori tanker tersebut kini mengalami kecederaan yang parah dan sedang dirawat di Hospital Temerloh. Manakala pemandu dan juga penumpang lapan buah kenderaan yang lain iaitu bas ekspres, satu motor Hilux, MPV Alhpard dan lima kenderaan lain tidak mengalami apa apa kecederaan yang serius.
“Semua mangsa telah dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Ahah Temerloh bagi mendapatkan rawatan dan juga post mortem akan dijalankan pada pagi ini’, katanya.
Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku selepas lori tanker simen hilang kawalan sebelum merempuh beberapa kenderaan yang bergerak perlahan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (KJSJN), Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (KJSPT) dan Ketua Polis Daerah Jerantut di Kompleks Alor Akar, Kuantan hari ini.