
TEMERLOH, 1 September- Empat orang maut manakala empat lagi cedera dalam nahas membabitkan 11 kenderaan di Kilometer 110.4 Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), arah Lanchang menghala Kuantan, malam tadi.
- Kemalangan berlaku pada 10.44 malam, melibatkan beberapa kereta, sebuah bas ekspres dan sebuah lori tangki.
- Mangsa yang maut termasuk Muhammad Nazatullah Nazmi, 32, dan Nur Atiqah Sofiya Mohd Kazwan, 31; dua mangsa belum dikenal pasti.
- Operasi bomba 21 anggota dari tiga balai dikawal 2.48 pagi, tamat 2.50 pagi; kesesakan trafik kira-kira 7.2 kilometer.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang dalam kenyataan hari ini memaklumkan nahas yang berlaku pada 10.44 malam itu membabitkan beberapa kereta, sebuah bas ekspres dan sebuah lori tangki.
“Tiga mangsa maut dalam sebuah kereta manakala seorang lagi maut dalam sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV).
“Dua mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Muhammad Nazatullah Nazmi, 32, dan Nur Atiqah Sofiya Mohd Kazwan, 31, manakala dua lagi mangsa belum dikenal pasti,” menurut kenyataan.
Tambah kenyataan itu, empat mangsa yang cedera termasuk dua yang tersepit dalam kenderaan, seorang penumpang dan seorang lagi mengalami kecederaan ringan.
Seramai 30 penumpang bas ekspres yang terlibat dalam nahas itu selamat.
Mangsa yang cedera diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), manakala mangsa yang maut diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Operasi dikawal pada 2.48 pagi dan tamat sepenuhnya pada 2.50 pagi melibatkan 21 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mentakab, BBP Temerloh dan BBP Karak.
Nahas itu turut menyebabkan kesesakan trafik sepanjang kira-kira 7.2 kilometer, dari Kilometer 109.2 hingga Kilometer 116.4, membabitkan laluan Lanchang ke Temerloh.