
KUALA NERUS, 31 Ogos – Tiga operator Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) di Terengganu digantung operasi selama sebulan selepas didapati melanggar syarat dan garis panduan pelaksanaan program.
- Pemantauan KPDN menemui ketidakpatuhan seperti tuntutan subsidi tidak selaras dengan dokumen dan penjualan melebihi had kuantiti.
- Operator diwajib patuh syarat, garis panduan, kualiti barangan, pengurusan stok, harga, had pembelian, rekod transaksi dan aku janji demi kepentingan pengguna.
- PJRM diperluas dengan 16 operator baharu, 98 operator keseluruhan, 956 sesi, lebih 1.29 juta transaksi dan subsidi RM65.64 juta.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu, Mohd Mufsi Lat berkata, tindakan itu membabitkan dua operator PJRM Bergerak dan seorang operator PJRM Premis.
Menurutnya, tindakan berkenaan diambil susulan pemantauan, pemeriksaan dan naziran yang dijalankan pihak KPDN.
Antara ketidakpatuhan yang dikesan ialah pengemukaan tuntutan subsidi yang tidak selaras dengan dokumen serta rekod pelaksanaan sebenar, selain penjualan barangan melebihi had kuantiti yang ditetapkan.
“Setiap operator PJRM bertanggungjawab memastikan pematuhan berterusan terhadap semua syarat, peraturan dan garis panduan yang ditetapkan, termasuk aspek kualiti barangan, pengurusan stok, harga, jualan, had pembelian, rekod transaksi serta tuntutan subsidi.
“Komitmen semua operator juga mestilah selaras dengan aku janji yang telah ditandatangani kerana sebarang ketidakpatuhan boleh menjejaskan kepentingan pengguna,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau pelaksanaan PJRM Malam Merdeka di sini, yang julung kali diadakan pada waktu malam.
Program itu menawarkan 127 jenis barangan dengan penjimatan antara 10 hingga 30 peratus berbanding harga pasaran setempat.
Sementara itu, akses kepada PJRM di Terengganu terus diperluas menerusi penyertaan 16 operator baharu tahun ini, menjadikan keseluruhan 98 operator di negeri berkenaan.
Sehingga kini, sebanyak 956 sesi PJRM telah dilaksanakan dengan merekodkan lebih 1.29 juta transaksi.
Nilai subsidi yang disalurkan pula mencecah RM65.64 juta.