
MERSING, 31 Ogos – Dua maut manakala empat lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua bot yang bertembung berhampiran Kuala Sungai Mersing, malam ini.
- JBPM terima panggilan kecemasan jam 9.04 malam; sembilan anggota bersama FRT dan FRV dihantar ke Jeti Mersing.
- Pasukan mendapati berlaku pelanggaran antara dua bot; operasi menyelamat diteruskan dan mangsa cedera sedang dirawat.
- Ketua Polis Daerah Mersing mengesahkan kejadian; kes dalam siasatan dan kenyataan rasmi akan dikeluarkan.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.04 malam.
Susulan itu, sepasukan sembilan anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Fire Response Vehicle (FRV) dari Balai Bomba dan Penyelamat Mersing dikejarkan ke Jeti Mersing.
Menurut JBPM, sebaik tiba di lokasi, pasukan operasi mendapati berlaku pelanggaran antara dua bot.
“Dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu.
Empat lagi mangsa yang mengalami kecederaan sedang menerima rawatan manakala operasi di lokasi masih diteruskan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani mengesahkan kejadian berkenaan.
Beliau berkata, kes masih dalam siasatan dan pihaknya akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat.