SUKIPT 2026: Pasukan ragbi 7s UPSI raih emas

Pasukan ragbi 7s lelaki Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) meraikan kemenangan selepas menumpaskan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada final Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) edisi ketujuh – Foto RTM

KUALA LUMPUR, 31 Ogos – Pasukan ragbi tujuh sebelah (7s) lelaki Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mencipta sejarah apabila meraih pingat emas pertama mereka dalam Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) edisi ketujuh pada Isnin.

RINGKASAN BERITA AI
  • UPSI bangkit dari ketinggalan 0-12 untuk menewaskan UKM 17-12 pada perlawanan akhir.
  • Kapten Muhammad Nazri menyifatkan semangat dan kesungguhan rakan sepasukan sebagai kunci kejayaan.
  • Masalah komunikasi pada separuh masa pertama diakui punca prestasi kurang; pasukan perkemas corak permainan selepas rehat.

Beraksi di Padang B Universiti Malaya (UM), UPSI bangkit daripada ketinggalan 0-12 pada separuh masa pertama sebelum menewaskan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 17-12 pada aksi final.

UKM bermula lebih agresif dan berjaya mengawal permainan pada separuh masa pertama untuk mendahului 12-0.

Namun, UPSI tampil lebih berdisiplin selepas rehat dan memperkemaskan corak permainan untuk melakukan kebangkitan dramatik sekali gus memastikan kejuaraan sulung pada penampilan mereka di SUKIPT kali ini.

Kapten UPSI, Muhammad Nazri Mohd Khalid, menyifatkan semangat dan kesungguhan rakan sepasukan menjadi kunci kejayaan berkenaan.

“Alhamdulillah, prestasi pasukan sangat baik. Saya percaya semua rakan mampu memberikan yang terbaik dan sebagai kapten saya cuba beri semangat kepada semua untuk merangkul pingat emas SUKIPT kali ini,” Katanya.

Beliau turut mengakui masalah komunikasi menjadi punca utama UPSI gagal mempamerkan permainan terbaik pada separuh masa pertama.

“Untuk separuh masa pertama, kami kurang berkomunikasi dan kurang ‘connection‘ (keserasian). Jadi saya beri semangat kepada mereka supaya lebih banyak bercakap dan teruskan usaha,”jelasnya.

Sementara itu, Universiti Putra Malaysia (UPM) meraih pingat gangsa selepas menewaskan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam penentuan tempat ketiga.

Bagi kategori wanita pula, UiTM muncul juara selepas menewaskan Politeknik Malaysia 14-5, manakala UPSI meraih gangsa selepas mengatasi Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.