
LAOS, 31 Ogos – Skuad Bawah 19 tahun (B-19) negara membuka kempen Kelayakan Piala Asia Bawah 20 tahun (B-20) 2027 dengan satu mata selepas seri tanpa jaringan menentang Indonesia di Stadium Nasional Lao KM16, Vientiane, di sini pada Isnin.
- Indonesia lebih kerap menguasai permainan dan menghasilkan pelbagai peluang berbahaya.
- Pertahanan Malaysia kekal berdisiplin menahan serangan lawan.
- Penjaga gol Faez Iqhwan melakukan beberapa penyelamatan penting bagi mematahkan percubaan Indonesia.
- Hanya lapan juara kumpulan, tujuh tempat kedua terbaik dan tuan rumah China layak ke pusingan akhir B-20 2027.
Indonesia lebih banyak menguasai permainan dan mencipta beberapa peluang, namun pertahanan Malaysia kekal berdisiplin untuk memastikan gawang negara tidak dibolosi.
Penjaga gol negara, Faez Iqhwan Muhamad Azmi, turut memainkan peranan penting apabila beberapa kali menyelamatkan percubaan berbahaya Indonesia.
Malaysia hampir membuka jaringan pada awal babak kedua menerusi Tengku Hasyri Shah Meerza, namun percubaannya berjaya diselamatkan penjaga gol Indonesia.
Indonesia turut mempunyai peluang terbaik untuk memecah kebuntuan, termasuk pada minit ke-78, namun tandukan Irpan Abadi Siregar tersasar.
Keputusan itu menyaksikan anak buah Shukor Adan mengumpul satu mata sebelum meneruskan cabaran menentang Australia pada Khamis, diikuti perlawanan terakhir bertemu tuan rumah Laos pada Ahad.
Hanya lapan juara kumpulan bersama tujuh pasukan tempat kedua terbaik dan tuan rumah China akan layak ke pusingan akhir Piala Asia B-20 2027 di China pada Mac tahun depan.
Malaysia sebelum ini gagal layak ke edisi 2025 dan kali terakhir bermain dalam aksi final adalah pada 2020 yang kemudiannya dibatalkan susulan pandemik COVID-19.