
NILAI, 31 Ogos – Keyakinan diri menjadi antara aspek yang masih perlu diperkukuh skuad pemanah negara, dengan keserasian dalam kalangan anggota pasukan pula menjadi kekuatan menjelang Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
- Persiapan fizikal dan teknik memanah sudah baik; fokus menaikkan keyakinan diri menerusi latihan di Korea.
- Keserasian sesama anggota, usia rapat dan pergaulan baik jadi kelebihan terutama dalam acara berpasukan.
- Persaingan luar kuat namun semangat tetap tinggi; tahap kesediaan sekitar 80 hingga 90 peratus, sokongan MSN memuaskan.
Pemanah negara, Ariana Nur Dania Mohamad Zairi, berkata persiapan skuad secara keseluruhannya berada pada tahap baik, namun aspek keyakinan diri setiap pemanah perlu terus dipertingkatkan sebelum menghadapi saingan di Jepun.
“Secara fizikal dan dari segi teknik memanah, semuanya sudah okey. Cuma saya rasa keyakinan diri masing-masing masih perlu diperbaiki. Itu perkara yang kami akan cuba tingkatkan ketika (menjalani latihan) di Korea nanti, selain terus percaya kepada kemampuan pasukan,” katanya.
Dalam pada itu, Ariana menyifatkan hubungan rapat antara anggota skuad yang sebaya sebagai satu kelebihan, terutama ketika beraksi dalam acara berpasukan.
Katanya, keserasian yang terjalin bukan sahaja memudahkan urusan ketika latihan, malah membantu mewujudkan suasana positif dan memberikan tenaga yang sama ketika pertandingan.
“Bagi saya, chemistry (keserasian) itu memang ada dan ia penting, terutama dalam acara berpasukan. Umur kami pun rapat-rapat dan masing-masing berkawan di dalam serta luar gelanggang. Jadi, itu menjadi satu kelebihan untuk kami,” katanya.
Ariana mengakui persaingan di Aichi-Nagoya lebih kompetitif, khususnya dengan kehadiran kuasa besar seperti Korea Selatan, namun ia tidak sedikit pun mematahkan semangat skuad negara.
“Pasukan yang bertanding sangat kompetitif, lebih kurang seperti Sukan Olimpik. Walaupun kami akan berdepan saingan yang kuat di sana, ia tidak melemahkan semangat kami untuk memberikan yang terbaik,” katanya.
Ariana turut mengakui tahap kesediaan dirinya ketika ini sekitar 80 hingga 90 peratus, namun masih mempunyai ruang untuk memperkemaskan persiapan sebelum temasya bermula.
Beliau pada masa sama berpuas hati dengan sokongan Majlis Sukan Negara (MSN) yang memastikan segala keperluan skuad, termasuk peralatan, berada pada tahap lengkap.
Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dijadual berlangsung dari 19 September hingga 4 Oktober.