
LONDON, 31 Ogos – Pemain sayap Brazil, Allan menyertai Manchester City daripada Palmeiras selepas menandatangani kontrak lima tahun, dengan nilai perpindahan dilaporkan mencecah £34 juta (AS$46 juta).
- Berusia 22 tahun, bakat akademi Palmeiras dengan 96 penampilan bersama skuad utama.
- Musim ini menjaringkan empat gol dan mencipta tiga bantuan dalam 21 penampilan liga.
- Anggap beraksi bersama City detik paling membanggakan; mahu membantu kelab menjulang trofi dan jadi pemain terbaik.
Pemain berusia 22 tahun itu merupakan bakat dari akademi Palmeiras dan telah membuat 96 penampilan bersama skuad utama kelab Brazil berkenaan.
Bagi musim ini, Allan menjaringkan empat gol dan mencipta tiga bantuan gol dalam 21 penampilan di liga utama Brazil, yang kini diterajui Palmeiras.
Beliau menyifatkan peluang beraksi dengan City sebagai satu detik yang sukar dipercayai.
“Berdasarkan kejayaan yang diraih kelab itu sepanjang 15 tahun lalu, City merupakan antara kelab paling menarik di dunia untuk pemain.
“Peluang untuk menyarung jersi kelab berkenaan adalah detik paling membanggakan dalam hidup saya, ” katanya.
Allan berkata, keputusan untuk meninggalkan Palmeiras bukan mudah, namun demi masa depan kerjayanya, beliau memilih untuk bersama Manchester City.
“Saya mahu menjadi pemain bola sepak terbaik. Dan hasil perbincangan bersama pihak City setakat ini meyakinkan saya bahawa tiada tempat yang lebih baik untuk merealisasikan impian tersebut.
“Hasrat saya adalah membantu City terus menjulang trofi. Jika mampu melakukannya, ia pastinya menjadi impian yang menjadi kenyataan, ” tambahnya.
Manchester City kini menduduki tangga teratas Liga Perdana Inggeris selepas membuka kempen musim ini dengan kemenangan ke atas Bournemouth dan Crystal Palace. – AFP