
KUALA LUMPUR, 31 Ogos – Rakyat menyambut baik keputusan kerajaan mengembalikan kuota asas BUDI MADANI RON95 (BUDI95) kepada 300 liter sebulan, berkuat kuasa 1 September ini.
- Rakyat menyambut baik pengembalian kuota, merasa lega dan berterima kasih kepada kerajaan.
- Pengembalian kuota meringankan beban kos bahan api, membantu penerima bergantung subsidi bersasar untuk keperluan harian.
- Ia sangat membantu pekerja perjalanan jauh yang mengurus perjalanan harian menggunakan kenderaan persendirian.
Langkah itu disifatkan mampu meringankan beban perbelanjaan bahan api, sekali gus memberi kelegaan kepada penerima yang bergantung kepada subsidi bersasar bagi memenuhi keperluan harian.
Bagi Nur Syasya Rosli, pengembalian kuota kepada 300 liter sebulan memberi kelegaan selepas ia sebelum ini dikurangkan kepada 200 liter.
Katanya, pengembalian kuota asal itu dijangka memberi manfaat kepada lebih ramai penerima.
“Asalnya kita memang 300 liter, lepas itu 200 liter untuk sementara. Sebab krisis, sekarang dah berbalik ke asal, memang lega untuk ramai pihak,” katanya.
Sementara itu, Shazwan Aswad Ahmad Zahir menyifatkan kuota 300 liter sebulan mencukupi bagi menampung keperluan perjalanan, khususnya bagi individu yang bekerja dan perlu berulang-alik dalam jarak jauh.
“Bagi saya yang bekerja jarak jauh ini sangat membantu. 300 liter itu cukup untuk satu bulan, ada juga lebihnya. Terima kasih atas inisiatif kerajaan membantu rakyat yang sangat memerlukan,” katanya.
Bagi Yasser Arafat Mohamed Ibrahim, pengembalian kuota berkenaan merupakan langkah yang baik dalam membantu rakyat yang berdepan tekanan kos sara hidup.
“BUDI yang dinaikkan itu sedikit sebanyak membantu semua orang dalam keadaan yang tersepit ini. Saya rasa satu langkah yang bagus,” katanya.
Dalam pada itu, Nazirul Mubin Abdullah Hanif berkata peningkatan kuota itu amat membantu memandangkan beliau perlu melakukan perjalanan kira-kira 140 kilometer setiap hari antara Ipoh dan Taiping untuk bekerja.
“Saya memang amat menggunakan (BUDI95) sebab perjalanan saya bekerja dari Ipoh ke Taiping, 140 kilometer hari-hari. Benda ini saya rasa, terima kasih kepada Perdana Menteri,” katanya.
Secara keseluruhannya, pengembalian kuota BUDI95 kepada 300 liter sebulan dilihat memberi lebih ruang kepada penerima mengurus perbelanjaan bahan api, terutama mereka yang bergantung kepada kenderaan persendirian bagi urusan pekerjaan dan perjalanan harian.