
KUALA LUMPUR, 29 Ogos – Malaysia mencatat RM218.5 bilion pelaburan diluluskan pada separuh pertama 2026, meningkat 11.7 peratus berbanding RM195.5 bilion dalam tempoh sama tahun lepas, menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
- Pelaburan melibatkan 2,746 projek yang dijangka mewujudkan 99,030 peluang pekerjaan.
- Pelaburan asing menyumbang 58.1% meningkat 18.5% tahun ke tahun; AS, Singapura, Jepun, China dan Kepulauan Cayman penyumbang utama.
- Sektor perkhidmatan terima pelaburan terbesar RM149.6 bilion, naik 21% dengan tumpuan pada AI, analitik data raya, keselamatan siber dan fintech.
MIDA dalam kenyataan memaklumkan, pelaburan itu melibatkan 2,746 projek dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan utama serta dijangka mewujudkan 99,030 peluang pekerjaan, sekali gus menyaksikan peningkatan 8.4 peratus tahun ke tahun.
“Pelaburan yang diluluskan bagi tempoh tersebut menyumbang 50.7 peratus daripada RM431.1 bilion pelaburan diluluskan sepanjang 2025.
“Prestasi itu memberangsangkan dalam persekitaran global yang semakin mencabar, dengan Tinjauan Ekonomi Dunia Julai 2026 oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan pertumbuhan dunia sebanyak tiga peratus pada 2026, manakala ekonomi Malaysia dijangka berkembang 4.7 peratus, mengatasi purata global dan serantau,” menurut kenyataan itu.
MIDA turut memaklumkan, pelaburan asing (FI) menyumbang RM126.9 bilion atau 58.1 peratus daripada jumlah pelaburan diluluskan, meningkat 18.5 peratus tahun ke tahun, manakala pelaburan domestik (DI) berjumlah RM91.6 bilion atau 41.9 peratus, meningkat 3.5 peratus.
“Amerika Syarikat (AS) merupakan sumber FI terbesar dengan RM33.1 bilion, diikuti Singapura (RM25.9 bilion), Jepun (RM22.3 bilion), China (RM16.5 bilion) dan Kepulauan Cayman (RM4.1 bilion), yang secara keseluruhannya menyumbang lebih 80 peratus FI diluluskan,” menurut lembaga itu lagi.
Di peringkat domestik, Selangor merekodkan jumlah pelaburan diluluskan tertinggi sebanyak RM70 bilion menerusi 835 projek, didorong pelaburan digital termasuk kecerdasan buatan (AI), analitik data raya, keselamatan siber, teknologi kewangan, pengkomputeran awan dan Internet Pelbagai Benda (IoT).
Diikuti Johor dengan RM59.4 bilion, disokong Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Sistem Transit Rapid (RTS) Link, manakala Kuala Lumpur merekodkan RM26.6 bilion, merangkumi pembangunan kediaman dan pangsapuri berperkhidmatan.
Sementara itu, Pulau Pinang mencatat RM20.2 bilion, diterajui sektor pembuatan termaju dan semikonduktor, manakala Sarawak RM10.8 bilion, terutama projek penerokaan minyak dan gas luar pesisir.
Jelas MIDA, sektor perkhidmatan menarik pelaburan diluluskan terbesar sebanyak RM149.6 bilion, meningkat 21 peratus tahun ke tahun, melibatkan 1,750 projek yang dijangka mewujudkan 34,475 pekerjaan.