BSN Micro-i MADANI bantu usahawan mikro pulihkan operasi, kembangkan perniagaan

Ketua Pegawai Operasi Bank Simpanan Nasional (BSN), Zarir Mohd Rawi – Foto RTM

DAMANSARA, 29 Ogos – Lebih 5,000 usahawan mikro telah menerima manfaat BSN Micro-i MADANI, setakat tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Skim BSN Micro-i MADANI menawarkan pembiayaan RM2,000 hingga RM100,000 untuk mulakan atau kembangkan perniagaan mikro dalam pelbagai sektor.
  • Pembiayaan membantu usahawan seperti Mirwan pulihkan operasi, beli peralatan, tambah produk dan tingkatkan modal kerja.
  • Skim ini sejajar agenda kerajaan, memperkukuh akses pembiayaan, meningkatkan daya tahan perniagaan dan mewujudkan peluang pekerjaan.

Ketua Pegawai Operasi Bank Simpanan Nasional (BSN), Zarir Mohd Rawi berkata, angka itu menjadikan jumlah keseluruhan penerima mencecah 180,000 orang, sejak skim itu diperkenalkan pada 2007.

“Skim ini menawarkan pembiayaan bermula RM2,000 hingga RM100,000. Secara amnya, ia bertujuan membantu usahawan mikro supaya mereka dapat mengembangkan perniagaan, sama ada untuk memulakan perniagaan baharu atau mengembangkan perniagaan sedia ada,” katanya.

Menurut beliau, skim berkenaan terbuka kepada pelbagai sektor dan tidak terhad kepada industri makanan dan minuman (F&B), termasuk peruncitan, pembangunan, pembinaan berskala kecil serta penjaja.

“Yang penting, kita dapat membantu usahawan mengembangkan perniagaan atau memulakan perniagaan baharu, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan, ” katanya lagi.

Menurut beliau, inisiatif berkenaan selari dengan agenda kerajaan untuk terus memperkukuh sokongan kepada golongan usahawan dalam menyediakan akses pembiayaan yang mudah dan praktikal.

Langkah itu juga dapat membantu mereka mengembangkan perniagaan serta meningkatkan daya tahan dalam menghadapi cabaran ekonomi.

Pengusaha kafe kopi, Mirwan Badri Ahmad Badri – Foto RTM

Sementara itu, ramai usahawan mikro kini berdepan tekanan untuk memastikan perniagaan terus bertahan, terutama apabila kos operasi, bahan mentah dan keperluan perniagaan semakin meningkat.

Seorang pengusaha kafe kopi, Mirwan Badri Ahmad Badri, 41, berkata perjalanan dalam dunia perniagaan bukan selalunya mudah, malah beliau pernah berdepan detik yang hampir memaksanya untuk bermula semula dari bawah.

Pada 2019, perniagaannya terpaksa ditutup sehingga mengakibatkan kerugian kira-kira RM350,000 menyebabkan beliau terpaksa mengurangkan jumlah pekerja.

Beliau kemudian bangkit dengan membangunkan platform dalam talian yang memfokuskan penjualan produk kopi.

Namun, sekali lagi diuji apabila masyarakat mula kembali menjalani aktiviti secara fizikal selepas pandemik COVID-19.

Dua episod getir itu menjadi titik perubahan buat Mirwan untuk menilai semula hala tuju perniagaannya sebelum membina semula beberapa cabang perniagaan yang saling berkait dalam industri kopi.

Menyedari cabaran tersebut, beliau kemudiannya mendapatkan pembiayaan BSN Micro i-MADANI bagi membantu menangani cabaran kewangan serta menambah baik operasi perniagaannya.

“Pembiayaan itu sangat membantu kami untuk bangkit semula. Melalui pembiayaan tersebut, kami memperkenalkan produk baharu, membeli perabot dan tempat duduk supaya pelanggan lebih selesa datang menikmati minuman di kedai, selain menaik taraf mesin-mesin yang digunakan.

“Sebahagian pembiayaan turut digunakan sebagai modal kerja. Pada peringkat awal, pembiayaan sebanyak RM50,000 itu memang sangat membantu perniagaan kami,” katanya.

Menurut Mirwan, kadar pembiayaan yang kompetitif serta tempoh bayaran balik yang fleksibel turut membantunya mengurus aliran tunai perniagaan dengan lebih baik.

Lebih penting, ia memastikan perniagaan Mirwan dapat kembali beroperasi, di samping membolehkan beliau melakukan pelaburan jangka panjang seperti pembelian aset.

Sempena sambutan Hari Kebangsaan 2026, perjalanan perniagaan Mirwan antara kisah usahawan mikro yang dikongsikan menerusi kempen ‘Cerita Mereka, Jiwa Malaysia’ anjuran BSN.

Kempen berkenaan mengangkat kisah rakyat Malaysia yang terus berusaha, menyumbang dan mencipta perubahan dalam komuniti masing-masing, walaupun berdepan pelbagai cabaran.

Menerusi kempen itu, BSN mengetengah 69 usahawan mikro dari 13 negeri di seluruh Malaysia, khususnya dalam sektor makanan dan minuman seperti kafe, restoran serta peniaga makanan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.