Spideraya gamit nostalgia peminat, rai perjalanan tiga dekad


KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Kumpulan rock dan ska popular tanah air, Spider bakal mengadakan konsert berskala besar menerusi Spideraya pada 26 September ini di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di sini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Spideraya perayaan karya dan evolusi muzik Spider sepanjang lebih tiga dekad.
  • Karya seperti Aladin, Relaku Pujuk, Mungkinkah Terjadi dan Kacap Terlabik masih relevan merentasi generasi.
  • Spider selaras dengan visi penganjur, mahu persembahan menghibur dan beri impak positif kepada industri hiburan tempatan.
  • Tiket ditawarkan enam kategori dan dijual menerusi platform Ticket2U.

Konsert yang dijadual bermula pada 8.30 malam menjadi platform untuk meraikan perjalanan lebih tiga dekad kumpulan kelahiran Johor Bahru itu dalam industri muzik tempatan.

Penganjur, B7 Resources Sdn Bhd berkata Spideraya bukan sekadar sebuah konsert, malah perayaan terhadap karya dan evolusi muzik Spider bersama peminatnya.

Wakil B7 Resources Sdn Bhd, Khairul Afizi berkata, pemilihan nama Spideraya melambangkan perjalanan dan perkembangan muzik kumpulan berkenaan sepanjang lebih 30 tahun.

Beliau berkata karya Spider termasuk Aladin, Relaku Pujuk, Mungkinkah Terjadi dan Kacap Terlabik masih relevan dan dekat dengan peminat merentasi generasi.

“Spider ialah kugiran legenda tanah air. Katalog muzik mereka daripada album Ngam Ho pada 1998 sehingga Ankabut yang diterbitkan pada 2016 masih relevan sehingga kini.

“Dengan beberapa siri penganjuran konsert Spider yang mendapat sambutan sebelum ini, B7 Resources sangat teruja dan tidak sabar menantikan Spideraya pada 26 September ini,” katanya lagi.

Sementara itu, vokalis Spider, Tam berkata keputusan kumpulan itu untuk menjayakan Spideraya selepas mengambil kira visi dan misi penganjur yang disifatkan selari dengan prinsip mereka.

Menurutnya, Spider mahu memastikan setiap persembahan bukan sahaja menghiburkan peminat, malah meninggalkan impak positif kepada industri hiburan tempatan.

“Spideraya bukan sekadar sebuah konsert tetapi bakal menjadi salah satu sejarah penganjuran terbaik buat semua pihak.

“Spider akan membawakan konsep perayaan yang tidak akan dilupakan,” ujarnya.

Tiket Spideraya ditawarkan dalam enam kategori iaitu Kita Satu (RM148), Aladin (RM158), Ngam Ho (RM168), Ankabut (RM208), Bintang 12 (RM238) dan Nazraku (RM268).

Tiket boleh dibeli menerusi platform Ticket2U.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.