APEL.Q realisasi impian Sabri Yunus sambung pengajian di UPSI

Sabri Yunus (tujuh dari kanan) bersama Fedtri (sembilan dari kanan) menunjukkan surat tawaran pengajian pada sesi serahan surat tawaran/UPSI

TANJONG MALIM, 27 Ogos – Hasrat pelakon dan pengarah terkenal Sabri Yunus untuk kembali menyambung pengajian akhirnya tercapai apabila beliau menerima surat tawaran Program Sarjana Pendidikan Kesusasteraan Melayu melalui laluan Accreditation of Prior Experiential Learning for Award of Qualifications (APEL.Q) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

RINGKASAN BERITA AI
  • Sabri pernah dua kali cuba sambung pengajian semasa berkhidmat di DBP pada 1980an dan awal 1990an, tetapi gagal kerana kekangan pekerjaan.
  • Beliau mahu mengkaji pantun khusus dalam Dikir Barat dan jelaskan makna serta fungsi istilah 'Tukang Karut' yang sering disalah faham.
  • Ahmad Fedtri turut mengikuti laluan sama; kedua-duanya menjadi pelajar rintis fakulti, memberi peluang berkongsi pengalaman seni, bahasa dan budaya.

Menurut Sabri, 65 tahun; peluang itu amat bermakna selepas dua kali mencuba untuk menyambung pengajian di universiti sebelum ini tidak kesampaian, masing-masing ketika beliau berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 1980-an dan awal 1990-an.

“Saya sebenarnya telah dua kali berusaha untuk menjadi pelajar di universiti semenjak saya masuk ke Dewan Bahasa dan Pustaka tahun 1982 sebagai pelukis, namun hasrat itu tidak kesampaian kerana kekangan untuk meninggalkan pekerjaan,” katanya pada Program Executive Talk 6.0 Keselamatan Siber di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, semalam.

Jelas suami kepada pelakon Angeline Tan atau nama Islam Ardini, meskipun gagal menyambung pengajian secara formal, proses menimba ilmu tidak pernah terhenti kerana menganggap setiap individu yang ditemuinya sebagai guru yang boleh memberikan manfaat dan pengalaman.

Sabri berkata menerusi pengajian APEL.Q, beliau mahu menjalankan kajian mengenai pantun khusus dalam Dikir Barat, termasuk menjelaskan fungsi dan makna sebenar istilah ‘Tukang Karut’ yang sering disalah fahami masyarakat.

“Saya nak teruskan pembelajaran saya dan yang nak saya bawa adalah kajian saya tentang Pantun Khusus Dalam Dikir Barat. Pantun dalam Dikir Barat berbeza dengan pantun biasa kerana ia mempunyai beberapa elemen yang tersendiri,” katanya.

Turut menerima tawaran ialah personaliti televisyen dan pengacara Ahmad Fedtri Yahya yang akan mengikuti Program Sarjana Pendidikan Bahasa Melayu melalui laluan sama.

Sabri dan Fedtri menjadi pelajar rintis bagi program yang dibangunkan Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata kehadiran Sabri dan Fedtri sebagai warga universiti memberi peluang kepada warga UPSI untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam bidang seni, bahasa serta budaya.

Prof Md Amin berkata pengalaman tokoh berkenaan juga penting dalam membantu usaha membina semula jati diri budaya bangsa, khususnya menerusi interaksi mereka dengan kira-kira 25,000 pelajar UPSI yang bakal menjadi guru dan berperanan membentuk generasi muda.

“Pelajar-pelajar di UPSI, lebih kurang 25,000 orang, akan menjadi guru dan merekalah yang akan menjadi pempengaruh kepada anak-anak muda kelak,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.