Lil J temui sisi lucu patah hati menerusi ‘Senjittah’

Foto Universal Music Group

KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Penyanyi hip-hop berbilang bahasa, Lil J, tampil dengan sisi berbeza menerusi single terbaharunya, ‘Senjittah’, yang mengangkat kisah patah hati, pengkhianatan dan keberanian meninggalkan hubungan tidak sihat dalam nada santai serta penuh humor.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lagu diinspirasikan pengalaman peribadi Lil J yang sering berasa tidak pernah cukup baik dalam hubungan.
  • Konsep dibangunkan bersama DJ Biggie; produksi diketuai DJ Biggie dan DJ Freazz.
  • ‘Senjittah’ menjadi single pertama album Tamil sulungnya, menandakan kepulangan kepada akar budaya.
  • Single kini di semua platform penstriman; single kedua sedang dibikin, kemungkinan remix atau versi alternatif.

Lagu yang dilancarkan hari ini itu mengetengahkan kisah seorang lelaki yang merasakan segala usahanya tidak pernah mencukupi buat pasangan, sebelum menyedari dirinya tidak dihargai dan dikhianati.

Berbanding menyampaikan kisah perpisahan dengan penuh kesedihan, Lil J memilih pendekatan lebih berani dengan menyelitkan unsur jenaka dan sindiran, sekali gus menjadikan pengalaman pahit itu lebih ringan untuk dinikmati pendengar.

Menurut Lil J, ‘Senjittah’ lahir daripada keinginannya melihat pengalaman patah hati dari sudut berbeza, termasuk mentertawakan apa yang berlaku, mengambil pengajaran dan terus melangkah ke hadapan.

Konsep lagu dibangunkan Lil J bersama DJ Biggie, manakala produksinya diterajui DJ Biggie dan DJ Freazz.

Lil J berkata, lagu berkenaan turut diinspirasikan pengalaman peribadinya ketika berasa dirinya tidak pernah cukup baik dalam sesebuah hubungan, satu perasaan yang dipercayainya turut dialami ramai pendengar.

Dalam pada itu, ‘Senjittah’ membawa mesej supaya seseorang lebih menghargai diri sendiri dan berani mengenali tanda-tanda amaran apabila hubungan mula menjejaskan kebahagiaan.

“Kita perlu cukup menyayangi diri sendiri untuk mengetahui bila tiba masanya untuk pergi. Kita tidak seharusnya mengorbankan kebahagiaan, masa dan tenaga demi seseorang yang tidak menghargai kita,” katanya.

Menariknya, ‘Senjittah’ menjadi single pertama daripada album Tamil sulung Lil J yang bakal dilancarkan, sekali gus menandakan kepulangannya kepada akar budaya sendiri.

Album berkenaan akan menjadikan bahasa Tamil sebagai teras utama, selain menggabungkan lirik Tamil dan Inggeris dalam beberapa lagu, selari dengan identiti Lil J sebagai artis hip-hop berbilang bahasa.

Lil J turut menegaskan tumpuannya terhadap album Tamil tidak bermakna beliau akan meninggalkan muzik berbahasa Melayu atau Inggeris, sebaliknya mahu terus menghasilkan karya dalam ketiga-tiga bahasa.

‘Senjittah’ kini boleh didengarkan menerusi semua platform penstriman.

Single kedua kini dalam pembikinan dan dijangka menawarkan kelainan kepada pendengar, manakala Lil J turut tidak menolak kemungkinan menghasilkan versi remix atau alternatif untuk ‘Senjittah’ pada masa akan datang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.