Isu pengalaman pelanggan: JIM buat laporan polis, dakwaan tidak selaras rekod

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban / Foto Fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) membuat satu laporan polis berhubung dakwaan seorang pelanggan berkaitan pengalamannya ketika berurusan di Pejabat Imigresen Cawangan UTC Pudu Sentral, di sini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dakwaan dalam hantaran tular tidak selaras dengan rakaman CCTV, rekod serta keterangan pegawai bertugas.
  • JIM memandang serius dakwaan dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis untuk tindakan lanjut.
  • JIM menghormati hak individu menyuarakan pandangan, berkongsi pengalaman dan mengemukakan aduan berhubung perkhidmatan jabatan.
  • JIM komited menangani aduan secara telus, profesional dan tanpa prejudis serta memberikan perkhidmatan berhemah dan berintegriti.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban menegaskan, beberapa dakwaan dalam hantaran tular di media sosial itu didapati tidak selaras dengan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), rekod berkaitan serta keterangan diperoleh daripada pegawai bertugas ketika kejadian.

Jelas beliau, JIM memandang serius dakwaan berkenaan dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis untuk tindakan lanjut.

“JIM menghormati hak setiap individu untuk menyuarakan pandangan, berkongsi pengalaman atau mengemukakan aduan berhubung perkhidmatan jabatan.

“Bagaimanapun, perkongsian maklumat yang tepat dan menyeluruh penting bagi memastikan sesuatu perkara dapat dinilai secara adil serta mengelakkan salah faham,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menegaskan komitmen pihaknya untuk memastikan setiap aduan ditangani secara telus, profesional dan tanpa prejudis.

Pada masa sama, memberikan perkhidmatan yang berhemah, berintegriti serta mengutamakan kepentingan masyarakat.

Terdahulu, pelanggan berkenaan mendakwa beliau dan suaminya berdepan layanan tidak wajar berhubung salah faham mengenai pengambilan sarung pasport di Pejabat Imigresen Cawangan UTC Pudu Sentral pada 21 Ogos lalu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.