Kemudahan sukan permotoran perlu kerjasama kolektif semua pihak – Mordi

Foto Malaysian Cub Prix

KUALA LUMPUR, 13 Oktober – Penyediaan kemudahan sukan permotoran yang selamat dan bersesuaian memerlukan usaha kolektif dan kerjasama semua pihak termasuk kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT), badan sukan serta sektor swasta.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pejabat Parlimen Bukit Gantang boleh mencadangkan persatuan sukan berkeupayaan dan lokasi melalui Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak untuk penyelarasan.
  • Cadangan bertujuan memudahkan permohonan pembinaan litar serta penganjuran aktiviti sukan motor lasak dan e-sukan di kawasan berkenaan.
  • Tiada keperluan menubuhkan jabatan khas warga emas kini bagi mengelakkan pertindihan fungsi dengan jabatan sedia ada.
  • Kementerian bertanggungjawab terhadap pelbagai kumpulan sasar termasuk OKU, kanak-kanak, wanita, warga emas dan gelandangan.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Mordi Bimol berkata ia penting bagi memastikan kemudahan yang disediakan dapat diuruskan, diselenggara serta dimanfaatkan secara optimum oleh komuniti setempat.

“Sebagai langkah awal, Pejabat Parlimen Bukit Gantang boleh mengesyorkan persatuan sukan yang berkeupayaan serta mencadangkan lokasi bersesuaian melalui Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak untuk penyelarasan bersama pihak berkaitan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Datuk Syed Abu Hussin Syed Abdul Fasal (PN-Bukit Gantang) mengenai permohonan pembinaan litar dan penganjuran aktiviti sukan motor lasak serta e-sukan di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Lim Hui Ying berkata tiada keperluan untuk menubuhkan jabatan khusus bagi menguruskan hal ehwal warga emas ketika ini bagi mengelakkan pertindihan fungsi dengan jabatan sedia ada.

Katanya, ini kerana kementerian mempunyai bertanggungjawab terhadap pelbagai kumpulan sasar termasuk orang kurang upaya (OKU), kanak-kanak, wanita, warga emas dan gelandangan.

Beliau menjawab soalan tambahan Dr Halimah Ali (PN-Kapar) yang ingin tahu mengenai cadangan penubuhan jabatan khusus dengan peruntukan dan perancangan tersendiri bagi menangani keperluan warga emas, yang jumlahnya dijangka mencecah 4.9 juta menjelang 2030. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.