
KUALA TERENGGANU, 25 Ogos – Operasi pemindahan seekor gajah liar betina yang sesat di Kampung Jeram, Manir, di sini, berjaya dilaksanakan pagi tadi.
- Gajah bernama Mek Jeram akan dilepaskan semula ke habitat asalnya di hutan selepas ditangkap di kampung berkenaan.
- Operasi pemindahan menggunakan lori melibatkan PERHILITAN Terengganu dan dua pusat konservasi gajah, Sungai Deka dan Kuala Gandah.
- Penduduk berkata ia kejadian pertama di kawasan itu; ramai teruja melihat gajah, ada yang tidak berasa takut.
Gajah yang digelar Mek Jeram itu akan dilepaskan semula ke habitat asalnya di hutan, selepas ditangkap di kampung berkenaan pada 22 Ogos lalu.
Operasi pemindahan menggunakan lori bermula pada pukul 8 pagi melibatkan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu dengan Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah.
Menurut penduduk setempat, kehadiran gajah liar berkenaan merupakan kejadian pertama di kawasan itu.
Khadijah Hamid berkata beliau tidak berasa takut melihat gajah berkenaan kerana sudah biasa terserempak haiwan itu ketika melalui kawasan tertentu.
“Memang suka sebab datang tengok hari-hari. Tak ada rasa takut. Biasa dah tengok tepi-tepi jalan masa nak balik ke Kedah, dekat Jeli dan Gerik memang biasa ada gajah,” katanya.
Siti Nur Maisarah Ibrahim pula mengakui pada awalnya berasa bimbang kerana haiwan itu merupakan gajah liar, namun teruja dapat melihatnya dari dekat buat pertama kali.
“Rasa takut juga sebab gajah liar, tapi kalau datang tengok macam ini jadi teruja,” katanya.