Ragbi SUKMA: Selangor pertahan emas, Kedah tamat penantian 20 tahun

Foto RTM

KLANG, 23 Ogos – Selangor dan Kedah muncul juara ragbi tujuh sebelah Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 bagi kategori wanita dan lelaki selepas aksi final penuh mendebarkan di Stadium Sultan Suleiman, Klang, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Selangor pertahankan pingat emas wanita, menewaskan Sarawak 41-0.
  • Nurul Fatin Hidayah pemain paling menyerlah, menjaringkan dua try.
  • Kedah tamat penantian 20 tahun, menundukkan Perak 14-12 bagi emas lelaki.
  • Sabah raih gangsa wanita 19-5 atas Terengganu; Johor gangsa lelaki 10-0 ke atas Wilayah Persekutuan.

Selangor terus mengukuhkan status sebagai kuasa ragbi wanita apabila berjaya mempertahankan pingat emas selepas membelasah Sarawak 41-0, sekali gus mengulangi kejayaan menewaskan lawan sama pada final SUKMA 2024 di Miri.

Beraksi di hadapan penyokong sendiri, Selangor menguasai perlawanan dari awal hingga akhir dengan Nurul Fatin Hidayah muncul pemain paling menyerlah menerusi dua try.

Noor Azzuwa, Nur Irish Qistina dan Putri Dulillah turut menyumbang mata bagi memastikan pingat emas kekal menjadi milik tuan rumah.

Dalam kategori lelaki, Kedah pula mencipta sejarah apabila menamatkan penantian selama 20 tahun untuk kembali bergelar juara ragbi tujuh sebelah selepas menewaskan Perak 14-12.

Kedua-dua pasukan terikat 7-7 pada separuh masa pertama sebelum Kedah mendahului pada babak kedua menerusi satu try berserta conversion.

Perak cuba bangkit dengan menghasilkan satu try, namun pertahanan ampuh Kedah berjaya bertahan sehingga wisel penamat, sekali gus menghadiahkan pingat emas pertama buat kontinjen itu sejak edisi 2006.

Sementara itu, Sabah meraih pingat gangsa kategori wanita selepas menewaskan Terengganu 19-5.

Johor pula membawa pulang gangsa kategori lelaki menerusi kemenangan 10-0 ke atas Wilayah Persekutuan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.