Negeri Sembilan benam Selangor 79-58, rangkul emas bola keranjang 5×5 lelaki

Foto RTM

KLANG, 23 Ogos – Negeri Sembilan muncul juara acara bola keranjang 5×5 lelaki, selepas menewaskan Selangor 79-58 dalam aksi final Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 di Dewan Bola Keranjang Bukit Tinggi 2 di sini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Negeri Sembilan menguasai permainan sejak suku pertama dan mengekalkan kelebihan sehingga menang dengan jurang 21 mata.
  • Jurulatih Tan Kian Hoong puji persiapan rapi, latihan sejak tahun lepas dan kajian kelemahan serta kelebihan lawan.
  • Pasukan wanita Selangor dominan sejak awal, menewaskan Negeri Sembilan 71-38 untuk merangkul pingat emas.

Negeri Sembilan menguasai permainan sejak suku pertama dengan mendahului 25-17, sebelum mengekalkan kelebihan pada suku kedua untuk mendahului 45-33 pada separuh masa.

Selangor cuba bangkit pada suku ketiga, namun Negeri Sembilan terus mengukuhkan kedudukan dan menamatkan permainan dengan kemenangan 21 mata.

Sementara itu, Jurulatih bola keranjang lelaki SUKMA Negeri Sembilan, Tan Kian Hoong berkata persiapan rapi termasuk menilai kekuatan dan kelemahan Selangor membantu pasukannya menyusun strategi terbaik untuk menghadapi aksi final.

“Para pemain yakin dengan diri sendiri dan pasukan sebab kita sudah berlatih sejak tahun lepas sehingga kini. Jadi, kita yakin untuk membawa kemenangan dalam perlawanan ini.

“Walaupun kita kalah perlawanan peringkat kumpulan dengan situasi kita tidak ramai pemain untuk perlawanan pertama tetapi berjaya mara ke final. Saya juga sudah mengkaji semua pemain Selangor dan meminta pemain supaya melihat kelemahan dan kelebihan mereka,” katanya.

Selain itu, dalam aksi final wanita, Selangor merangkul pingat emas selepas menewaskan Negeri Sembilan 71-38.

Selangor mendominasi permainan sejak awal apabila mendahului 16-10 pada suku pertama sebelum melebarkan jurang kepada 32-11 pada separuh masa.

Kelebihan terus dipertahankan pada dua suku terakhir untuk memastikan kemenangan bergaya pasukan wanita Selangor.

Keputusan itu menyaksikan Selangor menamatkan saingan bola keranjang 5×5 dengan satu pingat emas dan satu perak, manakala Negeri Sembilan membawa pulang satu emas dan satu perak.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.