
KUCHING, 23 Ogos – Tahap kejayaan penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 tidak seharusnya diukur berdasarkan kemeriahan majlis semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira prestasi atlet, kelancaran pertandingan dan semangat kesukanan sepanjang temasya berlangsung.
- Pertimbangan faktor geopolitik dan politik global penting dalam menilai kemeriahan penganjuran, menurut Timbalan Menteri Belia dan Sukan.
- Konsep penganjuran lebih sederhana selaras titah Sultan Selangor supaya aspek kesederhanaan diberi penekanan.
- Beliau menyatakan SUKMA secara keseluruhan berjalan dengan lancar dan baik.
- Program Sukan Rakyat KDJA mengeratkan hubungan pengamal media serta memberi peluang bersukan, berekreasi dan berinteraksi secara santai.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol berkata pelbagai faktor perlu dipertimbangkan dalam menilai tahap kemeriahan sesebuah penganjuran, termasuk keadaan geopolitik dan politik global.
Menurutnya, konsep penganjuran yang lebih sederhana pada edisi kali ini juga selaras dengan titah Sultan Selangor supaya aspek kesederhanaan diberikan penekanan.
“Sedikit pun tidak menjejaskan kemeriahan SUKMA secara keseluruhan dan ini adalah faktor geopolitik, juga faktor politik global. Jadi, banyak faktor lain yang perlu kita ambil kira.
“Namun secara keseluruhan, saya rasa perjalanan SUKMA berjalan dengan lancar dan baik,” katanya ketika ditemui media selepas Program Sukan Rakyat Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA), di Kuching.
Dalam pada itu, Mordi menyifatkan Program Sukan Rakyat KDJA sebagai platform yang baik untuk mengeratkan hubungan dalam kalangan pengamal media.
Katanya, program berkenaan bukan sahaja memberi peluang kepada rakan media untuk bersukan dan berekreasi bersama, malah mewujudkan ruang interaksi secara santai di luar tugasan harian.
Kira-kira 80 pengamal media daripada pelbagai agensi mengambil bahagian dalam program berkenaan.