Speedy Tigers terima RM160,000 atas kejayaan raih perak di Sukan Asia

Foto Konfederasi Hoki Malaysia

KUALA LUMPUR, 14 Oktober – Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) menyalurkan insentif kemenangan berjumlah RM160,000 kepada skuad hoki lelaki kebangsaan, Speedy Tigers sebagai penghargaan atas kejayaan meraih pingat perak pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Insentif disampaikan kepada 20 pemain dan lapan pegawai pasukan.
  • Presiden KHM puji usaha berpasukan, disiplin, komitmen dan pengorbanan membawa kejayaan pingat perak.
  • Skuad fokus pada Trofi Juara-Juara Asia, Piala Sultan Azlan Shah dan persiapan kempen kelayakan Sukan Olimpik 2028.

KHM menerusi kenyataan memaklumkan insentif itu disampaikan kepada 20 pemain dan lapan pegawai pasukan.

Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal berkata kejayaan meraih pingat perak itu bukan hadir dengan mudah, sebaliknya hasil usaha berpasukan yang menuntut disiplin, komitmen dan pengorbanan tinggi daripada semua pihak.

“Pingat perak ini merupakan satu kebanggaan buat Malaysia dan seluruh keluarga hoki negara. Ia bukan sesuatu yang datang dengan mudah, sebaliknya hasil usaha, penat lelah, disiplin serta pengorbanan setiap pemain, barisan kejurulatihan dan anggota sokongan demi membawa cabaran negara.

“Saya amat menghargai komitmen yang ditunjukkan seluruh pasukan. Dalam sejarah Sukan Asia selama 75 tahun, ini merupakan pingat perak ketiga skuad hoki lelaki Malaysia selepas pencapaian pada 2010 dan 2018. Sudah tentu kejayaan ini membawa makna besar kepada KHM serta perkembangan hoki negara,” katanya.

Datuk Seri Subahan menyifatkan pencapaian itu perlu dijadikan pemangkin kepada Speedy Tigers untuk terus meningkatkan prestasi dan memburu kejayaan lebih besar dalam kejohanan antarabangsa akan datang.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) selaku penaja utama dan rakan strategik KHM atas sokongan berterusan terhadap pembangunan hoki negara, termasuk membantu skuad kebangsaan menghadapi cabaran di pentas antarabangsa.

Selepas kejayaan di Sukan Asia, Speedy Tigers kini mengalihkan tumpuan kepada dua kejohanan antarabangsa, iaitu Trofi Juara-Juara Asia di Jalandhar dan Mohali, India, dari 27 Oktober hingga 5 November ini, serta Piala Sultan Azlan Shah 2026 di Ipoh, Perak.

Datuk Seri Subahan turut mencabar pemain dan barisan kejurulatihan supaya berani mencipta kejutan dengan menewaskan India di laman sendiri pada saingan Trofi Juara-Juara Asia.

Pada masa sama, KHM akan memperkukuh persiapan pasukan bagi menghadapi kempen kelayakan Sukan Olimpik 2028 yang dijadualkan berlangsung pada 2027.

Persiapan rapi akan dirangka bagi memastikan Speedy Tigers berada pada tahap terbaik, sekali gus meningkatkan peluang Malaysia kembali beraksi di pentas Olimpik.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.