SUKMA Selangor: Keserasian bawa Rizq Arif-Ieka Hariesya raih emas

Foto Bernama

BANGI, 22 Ogos – Keserasian Muhammad Rizq Arif Kharul Nezam-Nur Ieka Hariesya Zainal Habsahli membantu gandingan itu merangkul pingat emas acara recurve berpasukan campuran, sekali gus menyumbang pingat emas pertama buat kem memanah Selangor pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menang 6-0 ke atas wakil Pulau Pinang Ammar Muhaimin dan M. Khiritigaa di Stadium INSPEN.
  • Pingat emas pertama mereka di pentas SUKMA, detik istimewa buat kedua-dua atlet.
  • Rizq Arif anggap kemenangan sebagai rezeki bermakna selepas tidak meraih pingat pada penyertaan terdahulu.
  • Keserasian hasil latihan bersama skuad kebangsaan sejak awal tahun disokong kehadiran ibu bapa Ieka sebagai pendorong semangat.

Kemenangan 6-0 ke atas wakil Pulau Pinang, Ammar Muhaimin Md Shuhaidi-M. Khiritigaa di Stadium Institut Penilaian Negara (INSPEN) di sini, menjadi detik istimewa buat kedua-dua atlet kerana ia merupakan pingat emas pertama mereka di pentas SUKMA.

Rizq Arif yang membuat penampilan kedua di SUKMA, menyifatkan kemenangan itu sebagai rezeki yang amat bermakna selepas gagal meraih sebarang pingat dalam penyertaan terdahulu.

“Alhamdulillah, saya sangat gembira dapat rezeki menang emas. Ini merupakan pingat emas pertama saya di SUKMA dan saya sangat teruja,” katanya ketika ditemui selepas pertandingan.

Bagi Ieka Hariesya pula, kemenangan berkenaan turut membawa makna tersendiri selepas pernah meraih pingat perak dalam acara individu dan berpasukan pada SUKMA 2024 Sarawak.

Beliau berkata kehadiran ibu bapanya memberikan sokongan secara langsung menjadi antara pencetus semangat untuk memberikan persembahan terbaik.

“Sudah lama mereka tidak turun padang untuk menyokong saya kerana tidak mahu mengganggu persiapan, tetapi kali ini apabila mereka datang, saya rasa sangat dihargai dan mahu berjuang untuk mereka juga. Jadi, pingat ini adalah hadiah untuk mereka,” katanya.

Kejayaan gandingan itu turut didorong keserasian yang telah dibina sejak mereka bersama skuad kebangsaan pada awal tahun.

Rizq Arif berkata pengalaman berlatih bersama serta hubungan rapat membantu mereka membentuk keserasian yang baik ketika beraksi dalam acara campuran.

“Sejak awal tahun, kami berlatih bersama dalam skuad kebangsaan. Kami sangat rapat dan keserasian kami sudah cukup baik. Apabila mendapat peluang bergandingan di SUKMA, kami dapat beraksi bersama dan memenangi emas untuk Selangor,” katanya.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.