
KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Bakat baharu bidang muzik perlu mempunyai pengetahuan asas mengenai aspek perundangan sebelum memeterai sebarang kontrak dengan syarikat rakaman.
- Celik perundangan perlu agar penyanyi faham kontrak dan hak sebelum menandatangani.
- Fahami hak masing-masing supaya tidak timbul masalah pada masa hadapan.
- Pembangunan bakat hendaklah disertai pendidikan, bukan hanya bergantung kepada pencarian bakat semata.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, kefahaman mengenai kontrak penting bagi memastikan mereka mengetahui hak masing-masing jika berdepan sebarang isu pada masa hadapan.
“Yang paling penting sebenarnya adalah celik perundangan. Sebelum tandatangan dengan mana-mana label, yang paling penting sebenarnya adalah untuk tahu hak kita sebagai seorang penyanyi.
“Ini asasnya, dengan pengalaman yang ada boleh dididik supaya mereka tahu apa hak mereka dan tidak menjadi masalah di kemudian hari,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Bintang Suara Melilea 2026 di sini, hari ini.
Datuk Seri Fahmi turut berpandangan pembangunan bakat muzik tidak seharusnya hanya tertumpu kepada pencarian bakat baharu semata-mata.
Sebaliknya, elemen pendidikan perlu diterapkan supaya golongan berkenaan lebih bersedia menghadapi cabaran dalam industri dan bidang yang ingin diceburi.