
KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Bekalan ayam dan kebanyakan sayur tempatan ketika ini masih mencukupi untuk menampung keperluan pasaran semasa, meskipun negara berdepan fenomena El Nino yang mencetuskan cuaca panas ekstrem.
- Data SSR 2024 menunjukkan pengeluaran beberapa sayur melebihi 100 peratus dan daging ayam berada pada paras baik.
- Tiada keperluan pembelian panik untuk sayur dan ayam buat masa ini.
- Jika El Nino berlanjutan, suhu tinggi boleh menjejaskan produktiviti ternakan dan tanaman; langkah mitigasi perlu dipertingkatkan.
Pengarah Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan (ITAFoS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Anjas Asmara Samsudin berkata, data rasmi Kadar Sara Diri (SSR) Malaysia pada 2024 menunjukkan tahap pengeluaran yang baik bagi beberapa komoditi makanan.
Lapan jenis sayur mencatat SSR melebihi 100 peratus, termasuk tomato, bayam, kacang panjang dan timun, manakala pengeluaran daging ayam mencapai SSR sekitar 92.9 peratus.
“Untuk bahan-bahan yang menjadi pilihan ramai seperti sayur-sayuran dan juga ayam sebagai makanan rakyat, buat masa sekarang ini saya rasa tidak perlu pembelian panik.
“Kalau kita lihat daripada segi kadar penghasilan negara atau SSR bagi komoditi sayur, hampir kebanyakan sayuran tempatan yang dihasilkan dalam negara dapat memenuhi permintaan.
“Dan kalau untuk ternakan ayam pula, untuk daging ayam dalam negara pada ketika ini saya pasti cukup untuk menampung keperluan sehingga fenomena El Nino ini dijangka tamat pada hujung tahun,” katanya.
Prof. Dr. Anjas Asmara berkata demikian selepas ditemui media susulan sesi temubual menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia yang berlangsung di Wisma Berita, Angkasapuri Kota Media.
Beliau bagaimanapun berkata, sekiranya fenomena itu berlarutan, langkah mitigasi perlu dipertingkatkan memandangkan suhu dan kelembapan tinggi boleh menjejaskan produktiviti ternakan serta tanaman.
Tekanan cuaca ekstrem yang berpanjangan boleh membantutkan tumbesaran ayam, menjejaskan kecekapan pengeluaran serta berpotensi meningkatkan kos operasi penternakan.
“Apabila berlakunya pemanasan yang ekstrem ini, sedikit sebanyak ia dapat membantutkan produktiviti dan pertumbuhan ternakan itu sendiri. Apabila cuaca panas, kita tahu ternakan ini akan minum banyak dan kurang makan.
“Apabila minum banyak, ia tidak membantu produktiviti. Ia tidak akan naik berat badan seperti keadaan cuaca yang tidak panas, kerana apabila cuaca tidak panas, ternakan akan makan lebih banyak. Jadi, keadaan ini akhirnya boleh mengganggu rantaian makanan negara,” katanya lagi.