
KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Kempen kesedaran mengenai penipuan dalam talian atau ‘scam’ perlu diperluas ke kawasan terpencil bagi membendung peningkatan jenayah yang semakin membimbangkan itu.
- Infrastruktur digital meluas tetapi keselamatan belum mencukupi, memungkinkan penjenayah menyalahgunakan internet.
- MCMC memohon penurunan 476,516 kandungan hingga 19 Ogos, termasuk 128,312 berkaitan penipuan dan 302,139 judi.
- Platform bertanggungjawab; kecuaian boleh dikenakan denda sehingga RM10 juta; mangsa diminta hubungi NSRC di 997 segera.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, usaha itu wajar dibawa hingga ke peringkat akar umbi dengan melibatkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), persatuan penduduk dan komuniti setempat.
“Walaupun internet sekarang ini 5G, internet murah, internet meluas, tetapi internet belum tentu selamat. Sebab apa yang kita berjaya lakukan, menyediakan infrastruktur digital, tapi yang menyalahgunakan, termasuklah penjenayah ‘scam’,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Nasional Kesedaran Anti-Scam 2026 hari ini.
Datuk Seri Fahmi berkata, bagi tempoh 1 Januari hingga 19 Ogos, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memohon penurunan sebanyak 476,516 kandungan dalam talian yang melibatkan pelbagai kategori kesalahan.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 302,139 ialah kandungan berkaitan perjudian dalam talian, manakala 128,312 lagi kandungan berunsur penipuan,” katanya.
Beliau berkata, Facebook mencatatkan jumlah tertinggi kandungan penipuan yang diminta diturunkan, iaitu sebanyak 67,115 kandungan atau 52 peratus, diikuti TikTok dengan 50,642 kandungan.
Katanya, platform media sosial bertanggungjawab memastikan perkhidmatan mereka tidak disalahgunakan untuk penipuan dan judi dalam talian.
Sehubungan itu, beliau memberi amaran bahawa platform yang gagal melindungi pengguna boleh dikenakan denda sehingga RM10 juta.
Beliau berkata, mangsa penipuan pula dinasihatkan segera menghubungi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di talian 997, khususnya dalam tempoh 15 hingga 30 minit selepas kejadian, bagi meningkatkan peluang menyekat transaksi dan mendapatkan semula wang yang hilang.