
KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Syarikat telekomunikasi (telco) terbabit diminta segera memberi penjelasan berhubung dakwaan sejumlah besar talian telefon yang didaftarkan telah disalahgunakan bagi kegiatan penipuan dalam talian.
- Menteri akan panggil CEO syarikat telco bagi penjelasan penuh selewat-lewatnya hari ini.
- Kerajaan memperketat pendaftaran talian prabayar dengan pengesahan MyDigital ID.
- PPIM dakwa ada telco benarkan 20 hingga 50 talian didaftar atas satu nama.
- Kes dilaporkan termasuk warga emas dengan 18 talian berdaftar dan satu kes melibatkan sehingga 400 talian.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, syarikat berkenaan akan dipanggil untuk memberikan penjelasan penuh selewat-lewatnya hari ini.
“Jika benar, maka syarikat-syarikat telco ini payah dia nak jawab. Saya akan panggil untuk mereka datang jumpa saya dan bagi penjelasan penuh tentang perkara ini.
“Sebelum penghujung hari ini, saya nak CEO (ketua pegawai eksekutif) syarikat telco tersebut memberi penjelasan,” katanya ketika berucap merasmikan Program Nasional Kesedaran Anti-Scam 2026 hari ini.
Menurut Datuk Seri Fahmi, kerajaan telah memperketat pendaftaran talian prabayar dengan mewajibkan pengesahan MyDigital ID bagi mengelakkan nombor telefon disalahgunakan bagi kegiatan tidak bermoral.
Terdahulu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan mendakwa, terdapat syarikat telekomunikasi membenarkan sehingga 20 hingga 50 talian telefon didaftarkan menggunakan satu nama, sekali gus berisiko disalahgunakan untuk penipuan dalam talian.
Beliau turut mendedahkan kes seorang warga emas yang mempunyai 18 talian berdaftar atas namanya walaupun hanya memiliki satu talian, selain satu kes lain melibatkan sehingga 400 talian.
“Kalau satu tempat (telco) boleh daftar menggunakan satu nama untuk 20 atau 50 talian tanpa masalah, perkara ini tidak boleh dibiarkan berterusan kerana akhirnya pengguna yang menanggung akibat,” katanya.