Laluan alternatif ke Everest kurangkan risiko pendakian

Foto Everest / RTM

KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Cadangan laluan alternatif baharu ke puncak Gunung Everest yang lebih selamat bakal menjadi antara agenda utama dalam pembentangan khas “Three Decades of Malaysia’s Everest Legacy (1997-2027)” di ibu negara pada 23 Ogos ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Laluan Sundare Sherpa-Marc Batard bermula di Everest Base Camp menuju Nuptse Ridge ke Camp 1, mengelak keseluruhan Khumbu Icefall
  • Khumbu Icefall dikenalpasti sebagai seksyen paling berisiko dengan rekahan, lubang dan glasier berubah; 48 kematian direkodkan, kebanyakannya Sherpa
  • Laluan diterokai sejak 2021 oleh pendaki Perancis dan Nepal termasuk Marc Batard, Speed Kaji Sherpa dan Passang Nuru Sherpa
  • Rancangan memasang kira-kira 200 anak tangga logam dan 300 meter tali tetap, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa Nepal

Laluan berkenaan dikenali sebagai Sundare Sherpa-Marc Batard Route, yang akan bermula dari kawasan Everest Base Camp menuju Nuptse Ridge sebelum menghala ke Camp 1 tanpa perlu melalui keseluruhan Khumbu Icefall.

Penakluk pertama Malaysia ke puncak Gunung Everest, Datuk M. Magendran dalam kenyataan berkata perkara itu antara yang bakal diketengahkan pada sesi pembentangan khas “Three Decades of Malaysia’s Everest Legacy (1997-2027)” di Kuala Lumpur pada 23 Ogos ini oleh Presiden dan pencipta Everest Marathon, Bikram Pandey Kaaji, yang juga pengasas Himalaya Expeditions.

“Khumbu Icefall merupakan antara seksyen paling mencabar dan berisiko di laluan konvensional Everest, berikutan kewujudan rekahan, lubang serta permukaan glasier yang sentiasa berubah.

“Berdasarkan dokumentasi projek, 48 kematian direkodkan di kawasan berkenaan, kebanyakannya membabitkan pendaki Sherpa,” katanya dalam kenyataan itu.

Tambah beliau, pengenalan kepada laluan berkenaan memberi peluang kepada komuniti Everest Malaysia mendapatkan gambaran mengenai perkembangan terbaharu dalam aspek keselamatan serta hala tuju pendakian gunung di Himalaya.

Jelas beliau, laluan tersebut telah diterokai, dikaji dan dilengkapi secara berperingkat sejak 2021 oleh pendaki gunung Perancis dan Nepal, termasuk alpinis Perancis Marc Batard, Speed Kaji Sherpa dan Passang Nuru Sherpa.

Berdasarkan perancangan, laluan baharu itu dijangka mempunyai kira-kira 200 anak tangga logam kekal serta 300 meter tali tetap, tertakluk kepada kelulusan dan kebenaran pihak berkuasa Nepal.

Dalam pada itu, pada sesi pembentangan itu, Pandey turut akan berkongsi sejarah dan visi Everest Marathon, selain meneroka potensi kerjasama dengan penganjur maraton, pelari dan komuniti sukan lasak Malaysia, sekali gus membuka peluang baharu dalam bidang larian gunung dan pelancongan pengembaraan serta memperkukuh hubungan Malaysia-Nepal.

Program berkenaan turut menjadi antara persiapan awal ke arah sambutan 30 tahun legasi Malaysia di Everest pada 2027, dengan penglibatan enam penakluk Everest Malaysia dalam pertemuan itu.

Kerjasama berkenaan diharap dapat memperkukuh jaringan antara komuniti pendaki dan peminat sukan pengembaraan kedua-dua negara, selain membuka ruang kepada generasi baharu untuk meneruskan legasi Malaysia dalam aktiviti pendakian Himalaya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.