Enam tindakan segera jadi keutamaan perkukuh keselamatan KLIA, pintu masuk antarabangsa

Foto Hiasan / RTM

KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Enam daripada 17 syor penambahbaikan yang diluluskan Jemaah Menteri pada Rabu akan diberi keutamaan dalam usaha memperkukuh kawalan keselamatan, saringan dan pengurusan risiko di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta pintu masuk antarabangsa negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peningkatan saringan bersasar berasaskan risiko terhadap penerbangan, penumpang, kru dan bagasi yang dikenal pasti berisiko.
  • Memperkukuh e-Vetting dan kawalan akses bagi kru penerbangan, kakitangan syarikat penerbangan serta petugas operasi dan pengendalian darat.
  • Perkukuhan saringan dadah prapengambilan, berkala dan rawak ke atas juruterbang, kru kabin serta kakitangan berkaitan.
  • Meningkatkan kehadiran PDRM dan anggota PGA di terminal, mengukuh perkongsian risikan melalui NICC serta menubuhkan Jawatankuasa Teknikal KDN-MOT.

Menurut kenyataan bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pengangkutan (MOT), tindakan jangka pendek itu antaranya melibatkan peningkatan saringan bersasar berasaskan risiko terhadap penerbangan, penumpang, kru dan bagasi yang dikenal pasti berisiko.

Kerajaan turut memperkukuh prosedur e-Vetting dan kawalan akses terhadap kru penerbangan, kakitangan syarikat penerbangan, petugas operasi dan pengendalian darat serta pihak lain yang memerlukan akses ke kawasan keselamatan terhad.

Selain itu, saringan dadah prapengambilan, berkala dan secara rawak akan diperkukuh terhadap juruterbang, kru kabin serta kakitangan berkaitan.

“Kehadiran nyata Polis Diraja Malaysia (PDRM) di lokasi strategik turut ditingkatkan sebagai langkah pencegahan, disokong penambahan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi setiap syif penugasan di Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA.

“Dua lagi tindakan segera membabitkan pengukuhan perkongsian maklumat keselamatan dan risikan melalui National Immigration Command Centre (NICC), selain penubuhan Jawatankuasa Teknikal KDN-MOT bagi menyelaras tindakan serta memantau pelaksanaan keseluruhan pelan,” kata KDN dan MOT menerusi kenyataan bersama, hari ini.

Pelaksanaan keseluruhan syor itu turut merangkumitindakan sederhana dan panjang dimana fasa jangka sederhana akan memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi, aset dan sumber manusia.

Manakala fasa jangka panjang pula melibatkan transformasi sistem, perkongsian maklumat dan tadbir urus serta peluasan pelaksanaan ke pintu masuk antarabangsa di seluruh negara berdasarkan risiko dan kesesuaian setiap lokasi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.