
SUBANG, 19 Ogos – Status sebagai jurulatih sambilan tidak menghalang penembak profesional kebangsaan, Hasli Izwan Amir Hasan untuk terus memburu peluang melayakkan diri ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
- Membantu pasukan Selangor pada SUKMA 2026 sebagai jurulatih sambilan kerana anaknya menyertai temasya.
- Masih aktif menembak; menjalani latihan secara bersendirian dan sambilan berbeza dengan atlet sepenuh masa.
- Pengalaman luas membantunya mengekalkan prestasi secara berperingkat untuk kembali ke pentas antarabangsa.
- Berpuas hati dengan peningkatan atlet muda; berharap mereka mengambil alih tempat atlet senior kelak.
Hasli yang kini membantu pasukan Selangor pada SUKMA 2026 berkata, beliau masih aktif sebagai atlet dan meneruskan latihan secara sambilan dalam usaha mencapai sasaran tersebut.
“Buat masa ini saya berperanan sebagai jurulatih sambilan untuk SUKMA sebab anak saya sendiri yang tertanding. Jadi saya membantu pasukan Selangor.
“Saya masih aktif menembak dan mungkin saya akan cuba melayakkan diri ke LA28,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di lapang sasar menembak di sini.
Selain itu, Hasli berkata persiapannya ketika ini tidak sama seperti atlet sepenuh masa kerana latihan dilakukan secara bersendirian dan sambilan.
Bagaimanapun katanya, pengalaman luas membantu beliau mengekalkan prestasi secara berperingkat demi kembali beraksi di pentas Olimpik.
Hasli sebelum ini tidak berjaya melayakkan diri ke Sukan Asia yang dijadual berlangsung pada September depan.
Mengulas mengenai SUKMA 2026, Hasli berpuas hati dengan peningkatan prestasi atlet muda pada temasya kali ini.
“Pada usia saya ini, saya gembira melihat pencapaian atlet-atlet muda yang meningkat naik dan saya berharap mereka akan mengambil alih tempat atlet senior nanti,” ujarnya.
Hasli sebelum ini meraih pingat perak acara Rapid Fire Pistol pada Sukan SEA 2017, antara pencapaian penting sepanjang kariernya sebagai penembak kebangsaan.